Tablet Android, sehingga hari ini menggunakan konsep aplikasi yang serupa dengan untuk telefon pintar Android. Tetapi, perkara tersebut bakal berubah tidak lama lagi, apabila kini Google menerbitkan panduan dan semakan untuk menghasilkan aplikasi yang berkualiti untuk tablet.
Google juga dilihat akan mengadakan beberapa siri Google Hangout+ khas berkenaan perkara ini memfokuskan kepada para pembangun aplikasi, selain mempromosikan aplikasi yang dioptimasikan untuk tablet melalui Google Play Store.
Sehingga hari ini, walaupun Google sering berkongsi bilangan aplikasi di Google Play Store, namun tidak berkongsi berkaitan angka aplikasi yang dioptimasikan untuk tablet. Perkara ini berbeza dengan Apple yang mempunyai lebih 250,000 aplikasi untuk iPad. Dan dengan Windows 8 yang bakal menjelang tiba, semestinya ia akan lebih memberikan tekanan hebat kepada jualan tablet Android.
Mungkin dengan promosi oleh Google ini kelak, kita akan dapat melihat lebih banyak aplikasi yang dioptimasikan untuk tablet hadir daripada para pembangun Android.