Cip | Empat-Teras 1.6GHz |
Memori | 2GB RAM |
Storan Terbina | 16GB + mikro-SD (~64GB) |
Skrin | 5.5-inci HD Super AMOLED (1280×720) |
Kamera | Belakang 8MP, Hadapan 1.9MP |
Bateri | 3,100 mAh Li-on |
Lain-lain | Stylus S-Pen, NFC (S-Beam), Bluetooth 4.0, mHL |
Samsung Malaysia, akhirnya setelah sekian lama dinantikan, telah pun melancarkan Galaxy Note 2 di Malaysia, dan akan memulakan jualannya bermula 19 Oktober kelak pada harga RM2299. Di Malaysia, hanya model 16GB ditawarkan buat permulaan ini.
Dari segi rekabentuk, Galaxy Note 2 membawakan rekabentuk menyerupai Galaxy S3, dengan skrin yang lebih besar, iaitu bersaiz 5.5-inci. Jikalau dibandingkan dengan Galaxy Note generasi pertama, badannya kelihatan lebih sedap untuk dipegang, namun seperti biasa, kesan cap jari yang terlekap padanya masih kekal seperti sebelumnya.
Galaxy Note 2 menggunakan Android 4.1 Jelly Bean, yang mana dilengkapi dengan Google Now dan juga notifikasi yang lebih lengkap berbanding sebelumnya. Samsung kelihatan masih mengekalkan S-Voice walaupun Google Now tersedia padanya. Menekan butang menu untuk suatu ketika membuka Google Now secara automatik, manakala untuk S-Voice pula, butang Home digunakan. Namun, terdapat beberapa kaedah yang membolehkan butang Home digantikan untuk digunakan sebagai Google Now.
[amanz-gallery]
Untuk set Malaysia, Galaxy Note 2 turut sama dilengkapi dengan aplikasi tambahan, iaitu MPH Online. Seperti semua sedia maklum, sebelum ini, Samsung bersama pihak MPH telah pun mengumumkan kerjasama, membolehkan para pengguna tempatan menikmati buku digital terus pada peranti Android mereka.
Kamera Galaxy Note 2 membawakan beberapa perubahan berbanding sebelumnya, dimana ia menyertakan sokongan yang dinamakan sebagai Best Face, membolehkan para pengguna mengubah gambar muka yang dirakamkan sekiranya terdapat sebarang kecacatan pada gambar. Secara kasarnya ia berfungsi seperti sokongan Scalado Remove.
Bercakap mengenai Galaxy Note 2, salah satu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah S-Pen, iaitu pen stylus yang didatangkan bersama-sama dengannya. S-Pen dikatakan membawakan sensitiviti yang lebih baik berbanding sebelumnya, selain menambah beberapa fungsi baru bersama-sama dengannya, seperti Air View yang membolehkan para pengguna melihat pelbagai kandungan seperti video dan sebagainya tanpa membuka penuh sesuatu dokumen, video ataupun emel. Dan kini, apabila anda menarik keluar S-Pen, sebuah notifikasi diperlihatkan pada bahagian atas, disamping memperlihatkan beberapa aplikasi yang sesuai digunakan bersama, seperti S-Note dan sebagainya
Galaxy Note 2 turut sama menyertakan sokongan baru yang dinamakan sebagai Multiwindow, membolehkan anda menyertakan dua tetingkap pada skrin, dan mengendalikannya pada waktu yang sama. Namun, untuk peranti baru yang bakal dijual pada 19 Oktober ini, ia tidak akan disertakan, dan memerlukan para pengguna mengemaskini sistem operasi mereka melalui sokongan OTA.
Galaxy Note dijual di Malaysia bermula 19 Oktober – RM2299
Di Malaysia, Galaxy Note 2 bakal mula dijual bermula 19 Oktober 2012 kelak, yang mana akan dijual pada harga RM2299. Syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom dan juga DiGi turut sama akan menawarkan pakej dan pelan mereka untuk Galaxy Note 2 tidak lama lagi.