Salah satu perkara menarik pada dunia teknologi adalah dimana ramai yang hadir dengan pelbagai jenis gambar dan video konsep, memperlihatkan sesuatu yang menarik, dan kadangkala kelihatan mustahil. Terkini, Yanko Andreev berkongsi idea beliau berkenaan pelayar web Chrome pada Windows Phone.
Chrome seperti semua sedia maklum adalah salah satu pelayar web popular dunia, yang mana bukan hanya terdapat pada sistem operasi desktop, tetapi turut sama di Android dan juga iOS. Namun adakah ianya akan hadir untuk Windows Phone?
Buat masa ini, Windows Phone 7.5 tidak menyokong sebarang pelayar web sebenar daripada pihak ketiga, namun berbeza dengan Windows Phone 8, yang mana mungkin mendapat sokongan beberapa pelayar web pihak ketiga.
Sekiranya Google boleh hadir dengan pelayar web Chrome untuk Windows Phone, semestinya ia akan memudahkan para pengguna untuk sync pelbagai data daripada desktop terus ke peranti Windows Phone.
Walaupun apa yang diperlihatkan hanya sekadar konsep, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk terdapatnya sokongan Chrome pada Windows phone.