Walaupun Internet Explorer merupakan antara pelayar web yang tidak disukai ramai, namun, sejak daripada IE9, Microsoft seperti memberikan lebih tumpuan padanya, dengan menyokong pelbagai perkara baru bersama-sama dengannya. Dan dengan pelancaran Windows 8 pada minggu hadapan, pelayar web IE10 juga akan disertakan padanya.
Namun, untuk pengguna Windows 7, mereka terpaksa menantikan untuk suatu masa yang sedikit lama, memandangkan Microsoft hanya akan sekadar memperkenalkan versi preview untuk Windows 7 pada pertengahan bulan November, dan versi akhirnya kelak mungkin mengambil masa untuk dilancarkan beberapa minggu selepasnya.
Menurut Microsoft, Internet Explorer 10 kelak akan membawakan sokongan yang lebih baik kepada dunia pembangunan web, sekaligus menjadikan pelayaran web lebih baik untuk para pengguna seluruh dunia.
Sebelum ini, pada Internet Explorer 9, Microsoft mematikan sokongan untuk Windows XP, dan untuk Internet Explorer 10 pula, sokongan untuk Vista mungkin tidak akan disertakan.