Tarikh 30 Oktober semestinya adalah salah satu tarikh yang dinantikan ramai, apatah lagi dengan Google dan juga Microsoft bakal masing-masing mengumumkan berkaitan dengan Android dan juga Windows Phone 8.
Dengan lebih kurang seminggu lagi sebelum acara berkenaan, kini beberapa info awal berkaitan dengannya mula diketahui, dan dikongsikan di beberapa laman dan juga forum. Namun, seperti biasa, ia dikategorikan sebagai ura-ura, tanpa sebarang pengesahan dalam bentuk imej ataupun daripada pihak Google sendiri.
Daripada apa yang dikongsikan, sebanyak tiga peranti dikatakan sah akan diperkenalkan pada hari tersebut, iaitu Nexus 7 versi 3G, tablet Nexus 10 daripada Samsung, dan juga telefon pintar Nexus 4 daripada LG.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia Android, semestinya sedia ketahui yang mana pelbagai gambar peranti LG Nexus 4 telah pun kelihatan, membawakan rekabentuk yang lebih kurang menyerupai Galaxy Nexus. Dari segi spesifikasi, mengikut laporan awal, ia dikatakan LG Nexus 4 bakal membawakan cip pemprosesan empat-teras 1.5GHz, skrin bersaiz 4.7-inci dengan paparan 1280×768 pixel, memori sebanyak 2GB RAM, kamera 8-megapixel pada bahagian belakang, kamera 1.3-megapixel pada bahagian hadapan, dan juga bateri berkapasiti 2100mAh padanya.
Untuk tablet Nexus 10 daripada pihak Samsung pula, tidak banyak perkara yang diketahui. Maklumat awal hanya sekadar mengatakan ia akan membawakan skrin bersaiz 10-inci, dengan resolusi 2560×1600 pixel padanya.
..lebih dioptimasikan untuk tablet
Dari segi perisian pula, ia dikatakan Google bakal memperkenalkan Android 4.2 pada hari tersebut, yang mana masih akan mengekalkan nama Jelly Bean padanya.
Daripada apa yang dikongsikan berkaitan dengan Android 4.2, ia dikatakan akan lebih dioptimasikan untuk saiz skrin tablet, dimana untuk para pengguna tablet, salah satu sokongan yang bakal disertakan adalah sokongan profil, membolehkan anda mengubah akaun pengguna dengan mudah, dan masing-masing membawakan tetapan tersendiri (seumpama akaun pengguna pada Windows).
…fungsi profil pada tablet
Sokongan notifikasi pada Android 4.2 juga dijangka akan ditambah baik, membolehkan para pengguna mengakses pelbagai perkara terus pada ruangan notifikasi, seperti membaca keseluruhan mesej dan sebagainya.
Fungsi Google Now yang diperkenalkan pada Jelly Bean juga dijangka akan menerima beberapa penambahan padanya, menawarkan lebih banyak informasi untuk para pengguna.
Mungkin terdapat lebih banyak kemaskini yang akan dibawakan oleh Android 4.2 oleh Google, yang mana kita akan lihat satu demi satu dengan acara rasmi Google yang bakal menjelang tiba dalam masa seminggu lagi.