Apple dijangka akan mengumumkan iPad bersaiz kecil pada awal pagi esok, dan dengan kurang 12 jam, kini beberapa gambar awal mula kelihatan, mengatakan Apple bakal hadir dengan kemaskini kamera pada iPad sedia ada mereka.
Sebelum ini, ia telah diperkatakan Apple bakal hadir dengan kemaskini untuk keluarga iPad sedia ada (versi saiz 9.7-inci), dimana akan menyertakan port Lightning padanya. Namun, mengikut laporan terkini, kelihatan bukan sahaja port pengecasan dan sambungan ke komputer itu akan menerima kemaskini, tetapi turut sama membawakan kemaskini kepada kamera hadapan padanya.
Ia diperkatakan berkemungkinan Apple akan menggunakan kamera hadapan 1.2-megapixel seperti mana terdapat pada iPhone 5, menawarkan sokongan FaceTime HD melaluinya.
Buat masa ini, ia masih lagi dikategorikan ura-ura, memandangkan lebih banyak laporan sebelum ini menyentuh kepada iPad Mini, dan bukannya iPad bersaiz 9.7-inci. Namun, apa pun, segalanya akan terjawab dalam kurang 12 jam lagi.