Nampaknya, mungkin Asus akan menjadi pengeluar peranti terawal menawarkan tablet dan komputer Windows 8 di Malaysia, dimana kini mereka telah pun mula mempromosikan acara khas yang bakal diadakan di Kuala Lumpur mempromosikan produk baru mereka ini.
Asus VivoTab merupakan tablet yang menggunakan Windows RT, iaitu versi Windows yang dioptimasikan khas untuk tablet, membawakan skrin seluas 11.6-inci, cip pemprosesan empat-teras Tegra3, memori sebanyak 2GB RAM, sokongan NFC, dan kamera 8-megapixel pada bahagian belakang. Asus Tab turut didatangkan dengan sokongan dock untuk papan kekunci, membawakan tambahan penggunaan bateri selama tujuh jam, selain ruangan port USB 2.0 padanya.
Asus VivoBook pula didatangkan bersama-sama Windows 8, yang mana menyertakan sokongan skrin sentuh pada komputer riba, dengan variasi pilihan 11.6-inci dan juga 14-inci. Ia turut didatangkan dengan pilihan cip pemprosesan Intel Core, Pentium ataupun Celeron, bergantung kepada minat pengguna, dan menggunakan kad grafik terbina padanya.
Buat masa ini, harga jualannya masih tidak diketahui lagi. Namun, bagi anda yang berminat untuk mencubanya, mungkin boleh hadirkan diri ke acara khas Asus di MidValley, Kuala Lumpur selama seminggu, dari 29 Oktober sehingga 4 November kelak.