Dengan pelancaran Windows 8, mungkin ada yang telah memuat-turun dan mencubanya pada komputer anda, dan ada yang masih was-was untuk memasangnya pada komputer anda. Untuk memudahkan, kali ini, kami berkongsi cara untuk memasang Windows 8 pada komputer anda dengan mudah.
- Terlebih dahulu, beli, muat-turun dan sediakan fail pemasangan Windows 8 dalam bentuk DVD. Anda juga boleh dapatkan Windows 8 daripada pengedar rasmi Microsoft di Malaysia.
Windows 8 memudahkan para pengguna Windows sedia ada untuk memasangnya tanpa kehilangan sebarang data mahupun perisian yang telah dipasang pada komputer anda.
Untuk memulakan pemasangan, masukkan DVD ketika menjalankan Windows, dan sebuah menu autorun akan muncul pada skrin. Ia terlebih dahulu akan meminta para pengguna untuk memuat-turun fail-fail terkini (sekiranya ada). Namun, seperti biasa anda boleh mengelaknya dengan memilih untuk Skip perkara tersebut.
Seterusnya para pengguna akan diminta untuk masukkan kata laluan produk Windows 8 padanya. Tiada sebarang pilihan untuk Skip disediakan, memperlihatkan tiada sokongan pralihat (trial) yang disediakan untuknya.
Selesai sahaja memasukkan kata laluan produk, dan menerima terma dan syarat yang disediakan, para pengguna kemudiannya diberikan pilihan untuk sama ada menyimpan data peribadi, fail dan aplikasi sedia ada pada Windows mereka; ataupun memulakan pemasangan baru pada komputer mereka, dan memadam semua data sedia ada pada komputer tersebut.
Sekiranya para pengguna membuat pilihan untuk menyimpan data dan aplikasi, ia akan secara automatik mengimbas komputer anda, dan memperlihatkan apakah fail-fail dan perisian sedia ada yang tidak disokong pada Windows 8. Para pengguna akan diminta untuk membuangnya terlebih dahulu sebelum menyambung dengan pemasangan Windows 8.
Selesai sahaja membuat tetapan yang diinginkan, skrin pemasangan untuk terakhir kali akan memperlihatkan tetapan dan pilihan anda, sebelum membuat pemasangan Windows 8 sepenuhnya. (Kami memilih untuk tidak membuat sebarang salinan data, dan memulakan pemasangan baru sepenuhnya)
Selesai sahaja membuat pelbagai tetapan, kemudiannya pemasangan Windows 8 akan dimulakan, dimana sebuah skrin dengan paparan penuh akan hadir, dan memperlihatkan peratusan pemasangan Windows 8 anda.
Ia akan mengambil masa beberapa minit (sekitar 5 ke 10 minit), dan kemudiannya komputer anda akan dimulakan secara automatik. Pada skrin boot, ia akan dimulakan beberapa kali untuk menetapkan sistem mengikut tetapan komputer anda.
Selesai sahaja Windows 8 dimulakan, ia akan memperlihatkan skrin tetapan akaun dan komputer anda terlebih dahulu, bermula dengan pilihan warna. Pada skrin utama, ia akan memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih warna pilihan mereka daripada koleksi yang disediakan. Ia kelak akan berfungsi sebagai warna latar untuk komputer anda, yang mana semestinya boleh diubah pada halaman tetapan di Windows 8.
Selesai membuat tetapan warna latar dan sebagainya, para pengguna akan diminta sambungkan kepada talian internet, dimana sekiranya anda menggunakan internet melalui sambungan LAN, mungkin halaman ini tidak akan diperlihatkan, sebaliknya sekiranya menggunakan WiFi, anda akan diminta menyambungkannya dan memasukkan kata laluan (sekiranya diperlukan).
Seterusnya pilihan tetapan asas untuk komputer akan disediakan, yang mana sekiranya anda ingin menggunakan tetapan yang disediakan pihak Microsoft, anda boleh memilih tetapan ekspress, dan meneruskan pemasangan anda. Sekiranya anda ingin membuat perubahan, masih boleh melakukannya pada skrin ini.
Memandangkan Windows 8 diintegrasikan sepenuhnya dengan perkomputeran awan, disamping memerlukan akses akaun untuk Windows Store dan sebagainya, para pengguna juga akan diminta memasukkan maklumat akaun Microsoft mereka (Windows Live, Outlook dan sebagainya). Sekiranya tiada akaun tersebut, para pengguna boleh mendaftarkan akaun baru terus daripada skrin pemasangan ini.
Selesai sahaja memasukkannya, pemasangan Windows 8 akan selesai, dan para pengguna akan boleh mula menggunakan komputer mereka dengan sistem operasi terbaru daripada Microsoft ini.
- Daripada percubaan pemasangan kami, sebanyak tiga driver tidak dapat dikenal-pasti. Namun, dapat diatasi dengan membuat kemaskini automatik daripada Device Manager.