Lebih Maklumat Dan Paparan Skrin Android 4.2 Jelly Bean Diperlihatkan

Lebih Maklumat Dan Paparan Skrin Android 4.2 Jelly Bean Diperlihatkan

Diterbitkan pada Okt 27, 2012 oleh .

Bersama-sama gambar Samsung Nexus 10 yang tertiris, BriefMobile turut sama berkongsi lebih maklumat berkaitan dengan sistem operasi Android 4.2 yang digunakan pada peranti tersebut, selain memperlihatkan beberapa perkara baru yang dibawakan oleh kemaskini kecil Android ini.

Sokongan Multiple Akaun

Sokongan penggunaan lebih daripada satu akaun pada tablet Android telah diperkatakan sejak sekian lama, dan ia kelihatan akan diperkenalkan pada Android 4.2 kelak.

Daripadanya, ia akan memudahkan anda menggunakan tablet sepenuhnya mengikut citarasa anda, dan menyediakan sebuah akaun tambahan untuk sesiapa sahaja, seperti untuk anak-anak, ataupun rakan-rakan yang ingin meminjam tablet anda.

Menu Akses Pantas

Pada masa yang sama, ia turut kelihatan, Android 4.2 kelak akan membawakan sokongan akses pantas ke bahagian tetapan utama, memudahkan pengguna membuat tetapan seperti WiFi, dan pelbagai perkara lain melaluinya.

Untuk makluman, beberapa pengeluar peranti telah pun sedia menyediakan menu pantas seumpamanya pada bahagian notifikasi, dan kelihatan memandangkan ia amat memudahkan pengguna, Google turut mengintegrasikannya pada Android.

Galeri Gambar Yang Baru

Galeri gambar pada Android 4.2 kelihatan diberikan nafas baru, memudahkan para pengguna untuk melihat koleksi gambar mereka, dan tersusun dengan kemas berbanding sebelumnya.

Lain-Lain

Beberapa perkara lain yang turut dilaporkan akan disertakan bersama Android 4.2 adalah kemaskini pada bahagian menu kamera, dan ikon kamera dan jam yang diberikan nafas baru.

Semestinya mungkin Google mempunyai sedikit kejutan kepada para pengguna ketika pengumuman Android 4.2 kelak pada hari Selasa hadapan. Sama-sama kita nantikannya.


TIPS & ULASAN