Bersama-sama dengan pelancaran Windows 8 tempoh hari, pelbagai peranti baru yang turut dilancarkan bersama-sama dengannya, dan salah satunya adalah Asus VivoBook S400.
Asus VivoBook S400 menggunakan Windows 8 padanya, dan dijana menggunakan cip pemprosesan Intel Core, memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih Intel Core i3, i5, ataupun i7, selain pilihan penggunaan ruangan storan cakera keras, sama ada dalam bentuk hanya HDD ataupun dengan gabungan SSD sekali.
Asus menjanjikan masa bertahan bateri selama 5 hingga 6 jam padanya, disamping membawakan memori sehingga 4GB RAM padanya.
Dari segi rekabentuk, sekali pandang, ia boleh dikatakan menyerupai MacBook. Namun, memandangkan kini kebanyakkan komputer riba daripada keluarga Ultrabook menggunakan rekabentuk yang serupa, mungkin ia tidak membawakan sebarang perbezaan.
[amanz-gallery]
Asus VivoBook ini juga turut dilengkapi dengan skrin sentuh padanya, membolehkan para pengguna bukan sahaja mengendalikan komputer riba menggunakan papan kekunci, tetapi turut sama dengan menggunakan skrin sentuh, salah satu kelebihan yang dibawakan hasil daripada sistem operasi terbaru Windows 8.
Rekabentuk kerangka yang dibawakan oleh Asus VivoBook juga agak nipis dan ringan. Ia turut dilengkapi dengan slot HDMI, kad-SD, USB dan juga Ethernet LAN.
Secara kasarnya, kami agak berminat dengan rekabentuk yang dibawakan olehnya, yang mana turut disertakan dengan skrin sentuh untuk memudahkan penggunaan Windows 8. Namun, dari segi harganya, mungkin ia agak premium membuatkan ramai pengguna muda seperti pelajar dan sebagainya tidak mampu untuknya.
Harga jualannya masih tidak diketahui lagi, dan Asus bakal melancarkannya secara rasmi di Malaysia esok. Kami akan mengemaskini harga jualan peranti ini sebaik sahaja ia diumumkan dengan rasmi di Malaysia.