Skype Untuk Windows Phone 8 Diperkenalkan

Skype Untuk Windows Phone 8 Diperkenalkan

Diterbitkan pada Okt 30, 2012 oleh .

Sama seperti untuk versi Windows 8, Microsoft turut sama mengemaskini aplikasi Skype mereka untuk Windows Phone 8, membawakan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan menarik untuk pengguna telefon pintar Windows Phone.

Pihak Skype mengatakan untuk Windows Phone 8, mereka membangunkannya daripada awal kembali, dimana salah satu fungsi baru pada Skype untuk Windows Phone 8 adalah kebolehan menerima panggilan ataupun mesej pada bila-bila masa, sama seperti panggilan telefon ataupun SMS.

Walaupun anda mematikan aplikasi Skype, ia akan berjalan secara latar, tanpa memakan bateri yang banyak, membolehkan anda dihubungi dan menerima panggilan Skype seperti menerima panggilan biasa. Sokongan call-waiting turut disertakan, membolehkan para pengguna yang sedang menerima panggilan daripada talian biasa bertukar antara panggilan Skype dan yang utama dengan mudah.

Rakan-rakan Skype juga turut secara automatik ditambah kepada People Hub untuk memudahkan pengurusan panggilan dan buku alamat di Windows Phone 8. Dan seperti fungsi pada Windows dan Mac baru-baru ini, anda turut sama boleh menghantar mesej kepada rakan-rakan di Messenger dengan mudah daripada Skype.

Skype untuk Windows Phone 8 akan dilancarkan tidak lama lagi, dan akan ditawarkan secara percuma melalui Windows Phone Store.


TIPS & ULASAN