Cari @ Amanz

Masih tiada kenyataan rasmi daripada pihak Maxis.Nampaknya semua teka-teki akan terjawab pada penghujung minggu ini, apabila kini pihak MidValley telah pun mengemaskini jadual pameran di bangunan mereka, menyertakan acara promosi Maxis untuk iPhone 5. Sehingga kini, pihak Maxis masih belum mengeluarkan sebarang pra-tempahan, dan mungkin akan melakukannya dalam sehari dua lagi.

iPhone 5 telah dilancarkan oleh Apple pada bulan September yang lepas, dan telah dinantikan oleh para pengguna di Malaysia sekian lama. Kini, dengan acara promosi yang bakal dilakukan pada minggu hadapan, semestinya penantian ramai pengguna akan terhenti. Selain daripada Maxis, DiGi dan Celcom juga dijangka akan mengadakan promosi jualan mereka, termasuk akan dijual melalui Apple Store Malaysia selepas beberapa minggu ia dijual syarikat telekomunikasi tempatan.

iPhone 5 daripada Apple membawakan skrin bersaiz 4-inci, serta sokongan slot Lightning yang baru padanya. Ia turut dilengkapi dengan iOS 6 yang membawakan beberapa ciri-ciri menarik termasuk, Apple Maps yang baru. Harga jualan iPhone 5 dijangka tidak jauh berbeza dengan iPhone 4S sebelum ini, dan mungkin tawaran pakej dan pelan syarikat telekomunikasi juga lebih kurang sama.

Mungkin sekiranya pihak Maxis tidak menarik kembali tempahan mereka di MidValley, dan segalanya berjalan lancar, kita akan dapat melihat iPhone 5 mula dijual secara rasmi di Malaysia bermula minggu hadapan.

  • Amaran
  • Ia kelihatan pihak MidValley telah mengubahnya daripada Promosi Maxis iPhone 5 kepada promosi Maxis One Club. Mungkinkah pelancaran iPhone 5 di Malaysia lambat lagi?
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd