Fungsi menambah efek dan filter pada gambar semakin popular dari hari ke hari, dimana selain aplikasi seperti Instagram dan sebagainya, ia juga kini diintegrasikan pada sesetengah peranti terus melalui sokongan kamera.
Walaupun mempunyai persaingan yang agak sengit, ia masih tidak menghentikan pihak Twitter untuk turut sama menambah sokongan seumpamanya, dimana laporan awal kini mengatakan Twitter bakal memperkenalkan sokongan tersebut dalam beberapa bulan lagi pada aplikasi mudah-alih rasmi daripada mereka.
Twitter sendiri telah memperkenalkan sokongan menambah gambar terus ke perkhidmatan mereka pada tahun lepas, hasil kerjasama dengan pihak Photobucket. Dan memandangkan pelbagai gambar yang dikongsikan di Twitter akhir-akhir ini hadir daripada Instagram, mungkin pihak Twitter merasakan ia adalah salah satu peluang, dan juga mempunyai permintaan pengguna untuknya, apatah lagi sekiranya diintegrasikan terus ke aplikasi rasmi mereka yang telah sedia mempunyai angka pengguna yang tinggi.
Pada masa yang sama, Facebook turut mempunyai aplikasi berasingan, dinamakan Facebook Camera yang menawarkan sokongan lebih kurang sama. Instagram sendiri telah diambil-alih oleh Facebook sebelum ini, dan ia masih diuruskan secara berasingan, dan tidak dimatikan seperti pengambil-alihan yang lain oleh mereka.