Carian
Mari Mengenali Mekanisma Apple Fusion Drive
November 3, 2012 Aman

Dunia sekali lagi menyaksikan perubahan dalam dunia komputer dengan kehadiran teknologi yang boleh dikatakan sebagai baru pada 24 Oktober yang lepas. Apple Inc telah berkongsi satu lagi teknologi yang dihasilkan oleh jurutera mereka iaitu Fusion Drive.

Sebahagian daripada penggemar teknologi mengatakan bahawa Fusion Drive merupakan teknologi Hybrid Drive yang diolah semula dan diberi nafas baru oleh Apple. Sekalipun begitu, mekanisma operasi Fusion Drive agak berbeza dengan Hybrid Drive. Dari titik itulah artikel ini ditulis untuk kita membina kefahaman akan modus operandi Fusion Drive dan juga Hybrid Drive. Semoga kita sama-sama dapat memahami kitaran mekanisma antara 2 teknologi baru dan hebat ini.

Pengenalan : Fusion Drive & Hybrid Drive

Fusion Drive dan Hybrid Drive pada asasnya mempunyai binaan perkakasan luar yang sama iaitu kedua-duanya terbina dengan gabungan antara HDD (cakera keras) dan juga SSD (pemacu berkeadaan pegun). Menariknya, kedua-duanya ini bukanlah terbina dalam blok yang berasingan tapi digabungkan menjadi 1 perkakasan fizikal.

Ya, SSD itu wujud dalam bentuk papan litar bercetak (Printed Circuit Board – PCB) dan digabungkan sekali bersama-sama HDD dalam satu perumah yang sama.

Mekanisma Operasi Hybrid Drive

Saya akan berkongsi terlebih dahulu teknologi dan mekanisma operasi yang digunakan oleh Hybrid Drive sebelum saya berkongsi lebih lanjut teknologi Fusion Drive (lebih thriller, mungkin).

OK, kita gunakan Seagate 2nd Generation Momentus XT (750GB) Hybrid HDD sebagai contoh. HDD ini mempunyai ruang SSD bersaiz 8GB. Pada Hybrid Drive, ruang SSD hanya berfungsi sebagai ruang cache sahaja.

Ruang cache? Untuk memahami maksud ruang cache, jom kita gunakan analogi seperti ini:

Ketika menyambut hari raya Aidilfitri, anda bersama isteri-isteri anda bersepakat untuk membeli dan juga membuat kuih raya pada skala yang besar memandangkan sambutan hari raya kali ini agak meriah. Namun begitu anda tidak tahu kuih raya apakah yang patut dihidangkan pada meja utama yang agak kecil untuk menampung jumlah kuih-muih yang mencecah infiniti.

Maka datanglah satu idea yang agak bijak.

Anda menyediakan satu skrin LCD 30-inci pada ruang tamu dan tertera padanya senarai kuih-muih yang ada di rumah anda. Apabila tetamu meminta kuih yang tertentu, maka isteri-isteri atau anak-anak anda dikerah untuk mengambil kuih tersebut di dapur atau ruang simpanan kuih-muih.

Setelah rumah anda dikunjungi beberapa orang tetamu, maka anda pun menyemak kembali kuih apakah yang menerima permintaan yang kerap. Kuih yang sentiasa mendapat permintaan terus diletakkan di meja utama yang kecil itu selepas analisa dibuat. Dengan itu, anak-anak atau isteri-isteri anda tidak perlu lagi menggunakan tenaga mereka untuk bergerak ke dapur mengambil kuih berkenaan.

Fikirkan meja utama yang kecil itu sebagai ruang cache dan keseluruhan situasi di atas sebagai modus operandi Hybrid Drive. Setiap aplikasi atau fail yang diakses secara kerap akan disalin ke ruang cache sebagaimana cermin make-up menyalin imej anda. Ya, cermin make-up itu kecil dan cuma mampu menyalin imej muka anda sahaja iaitu kawasan yang kerap menerima akses daripada sekeliling anda.

Rasionalnya ialah kelajuan akses ke atas SSD lebih laju berbanding kelajuan akses ke atas HDD dan juga akses ke atas SSD menggunakan tenaga yang kurang jika dibandingkan dengan HDD.

Mekanisma Operasi Fusion Drive

Jika HDD Seagate yang dinyatakan di atas hanya menggunakan 8GB SSD sahaja, Apple Fusion Drive menggunakan 128GB ruang SSD yang didatangkan sekali pada HDD berkapasiti 1TB atau 3TB.

Apa yang membezakan antara Hybrid Drive dan Fusion Drive ialah bagaimana ruang SSD berfungsi. Hybrid Drive menukar fungsi SSD daripada storan kepada ruang cache, berlainan dengan Fusion Drive yang masih lagi mengekalkan fungsinya sebagai ruang storan.

Jika Hybrid Drive menyalin fail atau aplikasi yang kerap diakses ke atas ruang SSD yang bertindak sebagai cache, Fusion Drive pula berfungsi dengan mengalihkan aplikasi atau fail yang kerap diakses daripada HDD kepada SSD.

Berdasarkan gambar di atas, entiti (fail dan aplikasi) yang kerap diakses merupakan “hot entity” dan ia dialihkan ke SSD manakala “cold entity” akan dialihkan ke ke HDD. Secara lalai (by default), sistem operasi dan aplikasi yang sudah dipasang (pre-installed applications) akan diletakkan pada SSD. Jika anda masukkan fail-fail ke dalam storan dan anda jarang mengaksesnya seperti foto hari raya, ia akan dialihkan ke ruang HDD.

Kitaran alihan itu dilakukan secara automatik dan anda tidak perlu bimbang mengenainya kerana Fusion Drive akan belajar corak penggunaan anda seterusnya mengalihkan entiti yang sepatutnya ke tempat yang sepatutnya.
Inilah perbezaan antara Fusion Drive dan Hybrid Drive. Hybrid Drive menyalin entiti ke ruang cache manakala Fusion Drive mengalihkan entiti dari HDD ke SSD.

Kesimpulan

Berikutan dengan harga semasa SSD yang masih lagi mahal, Fusion Drive dan Hybrid Drive diwujudkan untuk memberikan pengalaman menggunakan komputer yang hampir menyerupai kelajuan SSD dan pada masa yang sama masih lagi mampu memberikan kapasiti storan yang besar.

Mungkin kita perlu menunggu lagi beberapa tahun untuk mendapatkan SSD pada harga yang lebih murah. Keseinambungan daripada itu, lebih banyak ultrabook akan dihasilkan dan ditawarkan pada harga yang berpatutan.

Sudah diterangkan mekanisma Fusion Drive dan jika berkesempatan, penjelasan yang lebih teknikal dan lebih mendalam mengenainya akan ditulis pada masa akan datang, insya Allah.

  • Artikel ini ditulis oleh saudara Aizan Fahri, salah seorang pelajar INTEC berumur 18 tahun bersama-sama dengan Pali7x. Ikuti mereka di Twitter melalui @aifrantz dan @pali7x
Komen