Instagram versi web boleh dikatakan salah satu permintaan tinggi dikalangan pengguna. Setelah sekian lama memfokuskan kepada peranti mudah-alih, iaitu platform iOS dan juga Android sahaja, kini Instagram melangkah setapak kehadapan dengan memperkenalkan sokongan profil berasaskan web secara rasminya.
Daripada rekabentuk yang dibawakan, ia serba-sebanyak menyerupai antaramuka profil pada Facebook. Memandangkan Facebook telah pun sedia mengambil-alih dan memiliki Instagram, mungkin ini adalah salah satu perkara yang dijangka.
Halaman profil pengguna untuk Instagram memperlihatkan pelbagai gambar yang dirakam dan dimuat-naik oleh pengguna, dan pada masa yang sama, memperlihatkan bio ringkas seperti mana ditetapkan oleh seseorang itu.
Untuk mengakses halaman profil tersendiri, anda hanya perlu ke URL Instagram.com/(nama-pengguna-anda), dan kemudiannya ia akan memaparkan gambar-gambar yang dimuat-naik dan dikongsikan oleh anda. Instagram mengatakan profil ini akan diperkenalkan secara berperingkat dalam beberapa hari akan datang kepada semua.
Jadi, sekiranya anda masih belum mendapat akses ke halaman profil web Instagram, mungkin boleh menyemak contoh halaman Nike untuk melihat bagaimana ia akan kelihatan kelak.