Dalam berjumpa dengan ramai orang yang tidak arif berkenaan teknologi ICT, pasti kita menghadapi situasi sukar untuk menerangkan maksud sesuatu kosa kata. Kata-kata seperti hosting, domain, dan cloud storage pastinya membuatkan pelanggan, saudara-mara, bos, mahupun rakan kita tidak dapat memahami apa yang kita maksudkan dan sekaligus menyebabkan mereka jauh dari dunia teknologi.
Penggunaan analogi mampu memudahkan rakan kita yang tidak arif berkenaan ICT untuk memahami kosa-kata yang dimaksudkan. Analogi merupakan perumpamaan ataupun contoh lain untuk memberikan idea kepada rakan kita. Saya sendiri kebanyakan masa cuba untuk menggunakan analogi untuk membantu mereka memahami. Analogi teknologi terbaik adalah analogi yang boleh kita kaitkan dengan kehidupan seharian.
Antara contoh analogi kegemaran saya.
- Hosting: Hosting boleh diumpamakan seperti kenderaan anda. Setiap kenderaan ada beza pacuan roda, beza muatan penumpang, beza kelajuan dan prestasi berbeza. Begitu juga hosting anda. Ada yang boleh memproses data dengan laju, ada yang boleh memuatkan banyak fail dan banyak lagi
- Domain : Domain adalah seperti nombor pendaftaran kereta anda. Anda sudah beli kereta (hosting) jadi anda perlu membeli domain supaya kereta anda sah untuk berada di jalan raya (internet). Ada hosting boleh diakses menggunakan alamat IP tetapi ianya tidak profesional dan susah di ingat.
- Perihal takut kepada Cloud Storage: Bayangkan anda membuka akaun dan menyimpan duit anda di Maybank cawangan Kuala Lumpur. Kemudian anda pergi ke Terengganu dan berupaya mengeluarkan duit yang sama, begitu juga manfaat Cloud Storage. Simpan fail dari komputer lain dan boleh mengambil semula fail tersebut menggunakan komputer lain. Sekiranya anda takut fail tidak selamat, duit anda juga tidak selamat.
Jadi sekiranya berhadapan dengan situasi diatas, sama-samalah kita cuba untuk mengajar masyarakat melalui analogi yang berkaitan dan senang difahami. Ini sedikit sebanyak mengurangkan jurang penerimaan teknologi oleh masyarakat.
Adakah anda mempunyai sebarang analogi yang menarik? Kongsikan bersama kami dan juga pembaca yang lain.