Industri animasi tempatan kian meningkat saban hari, dimana selain daripada beberapa siri animasi popular (Upin dan Ipin, Boboiboy dan sebagainya), animasi dalam bentuk filem juga turut diberikan perhatian daripada mereka yang terlibat dengan industri kreatif.
Terbaru yang bakal hadir ke pawagam tempatan adalah War of the Worlds : Goliath, yang mana mengambil konsep berasaskan kepada steampunk, berkisar mengenai perperangan manusia sejagat menentang makhluk asing dari planet Marikh. Difahamkan projek ini telah mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
- Steampunk – trend menggunakan mesin alatan stim hasil dari revolusi perindustrian. Kebiasaanya mesin-mesin dalam ceritera berkonsepkan steampunk menggunakan kuasa stim berbanding kuasa lain. Bacaan lanjut [Wikipedia]
Projek menelan belanja jutaan ringgit ini telah ditaja oleh MAVCAP, FINAS dan juga MSC Malaysia dan merupakan animasi stereoskopik 3D yang pertama di Malaysia. Malahan, ia juga menggabungkan 2D dengan 3D jadi ia memberikan pengalaman yang berbeza berbanding animasi 3D sepenuhnya. Animasi ini juga telah menewaskan Madagascar 3 apabila dianugerahkan Best 3D Animation Feature di Festival Filem 3D Los Angeles.
Sinopsis: Filem ini berkisar pada tahun 1914 ala-steampunk, 14 tahun selepas serangan makhluk asing yang pertama yang gagal kerana kuman. Lanjutan dari itu, pasukan pertahanan A.R.E.S telah ditubuhkan di bandar Manhattan dibawah perintah Theodore Roosevelt. Untuk melawan mesin tripod makhluk asing, A.R.E.S juga telah membina mesin tripod mereka. Pasukan Goliath yang terdiri dari ahli berbeza negara merupakan ketua pasukan pertahanan tripod dan menghalang serangan makhluk asing. Filem animasi ini akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 15 November.
Sedikit lakaran konsep gambar filem animasi ini.
[amanz-gallery]
Jadi setelah menontonnya, bagaimanakah jalan ceritanya?
- Dari segi latar cerita, agak mendatar dan tiada plot yang sukar. Saya pada mulanya tertarik pada watak Irish yang terpaksa membelot abangnya sendiri. Antara plot yang boleh dikembangkan mungkin pada waktu watak tersebut berhadapan masalah, abangnya akan datang menolong dan sekaligus menyampaikan mesej ‘air dicincang takkan putus’.
- Terdapat banyak masa senyap yang tidak dimanfaatkan. Sebagai contoh, semasa awal cerita sewaktu kereta-api mengelilingi bandar Manhattan, boleh diselitkan ulasan mengenai zaman/bandar tersebut.
- Kesan khas yang kadang-kala nampak mudah. Mungkin perkara ini berlaku disebabkan adunan animasi 2D dan 3D.
- Kalau boleh diberikan bintang, kami berikan 3/5
Pujian harus diberikan kepada produksi filem ini kerana mengangkat martabat animasi Malaysia dengan memenangi anugerah dan juga dengan mempunyai kerjasama dengan industri antarabangsa. Malahan mereka juga telah muncul di San Diego Comic Convention untuk promosi filem tersebut. Dengan filem ini juga sedikit sebanyak menyuntik semangat untuk menyemarakkan industri animasi tempatan. Tahun ini sahaja menyaksikan 2 filem animasi tempatan telah ditayangkan dan satu lagi animasi bakal muncul pada akhir tahun ini.
Mungkin pada masa akan datang, sekiranya para penggiat industri kreatif tempatan hadir dengan animasi yang lebih menerapkan elemen nusantara, selain turut menyertakan sokongan audio dalam bahasa Malaysia, ia akan lebih diminati dan memberikan identiti hasilan Malaysia padanya.
- Bersempena dengan pelancaran filem animasi ini di Malaysia, pihak TeAM turut sama bakal mengadakan sebuah acara khas membincangkan industri kreatif dan multimedia di Malaysia. Ia bakal diadakan pada 20 November 2012 kelak, di Kuala Lumpur. Bagi yang berminat boleh mendaftar secara percuma untuk acara ini, yang mana mungkin bersesuaian bagi mereka-mereka yang terlibat dengan industri kreatif dan multimedia.