Bing Translator daripada Microsoft boleh dikatakan salah satu perkhidmatan terjemahan terbaik pada masa sekarang, dan nampaknya tidak lama lagi, Microsoft turut sama akan membawakan sokongan untuk terjemahan ucapan dalam bentuk masa-nyata pada perkhidmatan mereka itu.
Daripada demonstrasi ringkas yang diperlihatkan oleh Microsoft, melalui teknologi mereka yang dikemaskini, kini selain daripada kebolehan untuk membuat transkrip untuk ucapan dalam masa-nyata mengikut tetapan bahasa (termasuk terjemahan), pengguna juga kelak boleh berinteraksi dengan yang lain dengan sokongan terjemahan audio ke sebarang bahasa.
Microsoft juga turut berkongsi mengatakan mereka ingin menjadikannya seberapa boleh untuk mengikut suara asal, membolehkan audio terjemahan mengikut suara asal pengguna.
Selain daripada Microsoft, Google juga turut sama membangunkan sokongan serupa melalui Google Translate mereka, dan mungkin dengan persaingan sihat antara kedua-dua gergasi ini, kita pengguna akan mendapat sesuatu yang amat berguna dalam setahun dua lagi.