Dengan pengenalan Windows 8, ia juga turut mengubah bagaimana para pengguna menggunakan komputer mereka, iaitu daripada hanya papan kekunci, kini turut menggunakan skrin sentuh, dan juga membawakan kepada rekabentuk komputer riba yang boleh diubah kepada tablet dengan mudah.
Bermula daripada penghujung bulan Oktober, pengenalan komputer riba hibrid dengan tablet mula meningkat dengan drastik, dan perkara ini dijangka akan berlanjutan sepanjang tahun hadapan.
Dan salah satu cip pemprosesan yang menjana kebanyakkan komputer riba hibrid ini kelak adalah Intel, dan ketika pelancaran komputer riba Acer Aspire S7 tempoh hari, Intel Malaysia turut berkongsi mengatakan cip pemprosesan generasi ke empat Intel Core akan hadir pada tahun hadapan.
Seperti semua sedia maklum, ia bukanlah perkara baru, dan semestinya mereka yang mengikuti perkembangan dunia komputer mengetahui mengenainya.
Daripada apa yang dikongsikan pihak Intel Malaysia, kita semakin hari semakin ke arah dunia mesra mudah-alih, dimana selain daripada penggunaan telefon pintar dan tablet yang meningkat dari hari ke hari, ia juga turut menyumbang kepada peningkatan produktiviti, membolehkan pengguna bekerja dari mana sahaja dengan mudah, bila-bila masa.
Daripada bancian ringkas yang dilakukan oleh mereka, ia juga kelihatan lebih ramai pengguna yang inginkan peranti berupa Ultrabook yang boleh diubah kepada tablet dengan mudah bersama-sama dengan pengenalan Windows 8, disamping diikuti dengan peratusan kedua terbesar adalah mereka yang inginkan Ultrabook dengan sokongan skrin sentuh.
Semestinya, ini juga sekaligus menyumbang kepada pembangunan cip pemprosesan yang memberikan kuasa pemprosesan yang lebih baik, disamping pada masa yang sama menjimatkan penggunaan tenaga.
Dan dengan tahun 2013 yang semakin hampir, semestinya salah satu perkara yang dinantikan adalah apakah yang bakal dibawakan oleh Intel Core generasi keempat kelak.
Daripada apa yang diketahui buat masa ini, cip pemprosesan generasi keempat ini akan menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 20 kali ganda berbanding Sandy Bridge, disamping meningkatkan sokongan Intel HD Graphics sehingga 2 kali ganda.
Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut berkaitan cip pemprosesan Intel Core generasi keempat yang turut dikenali dengan nama kod “Haswell” ini.