…bakal dilancarkan pada hari Khamis ini – 15 November 2012
Dengan perkembangan dunia teknologi dan internet, salah satu industri yang mengalami perubahan drastik adalah industri percetakan dan penerbitan. Selepas beberapa majalah tempatan beralih kepada penerbitan digital, kini Karangkraf bakal memperkenalkan alternatif digital mereka, membolehkan para pengguna membaca majalah terus pada peranti iOS ataupun Android mereka.
Karangkraf bakal memperkenalkan aplikasi khas untuk iOS dan juga Android mereka pada hari Khamis ini, dan terlebih dahulu, kami diberikan akses eksklusif untuk mencubanya terlebih dahulu.
Di Malaysia, pengenalan ia bukanlah sesuatu yang baru, dimana sebelum ini Maxis telah memperkenalkan Maxis eBuuk, manakala PTS yang menggunakan e-Sentral dalam memperluaskan buku keluaran mereka kepada versi digital.
Karangkraf pula kelihatan hadir dengan aplikasi mereka tersendiri untuk iOS dan juga Android, yang mana dinamakan sebagai eMall, membolehkan para pengguna membaca dan mendapatkan buku serta majalah keluaran mereka dengan mudah melaluinya.
Untuk menjayakan aplikasi mereka, Karangkraf menggunakan teknologi daripada Ookbee. Menariknya berkenaan dengan aplikasi eMall daripada Karangkraf adalah dimana ia membawakan rekabentuk yang dioptimasikan untuk telefon pintar mahupun tablet, membolehkan anda mengikuti bahan bacaan anda pada sebarang peranti tanpa sebarang masalah.
Tambahan lagi, untuk versi digital, mereka menyediakan diskaun untuk pembelian buku mahupun majalah, disamping menyediakan langganan dalam pilihan enam atau 12 bulan untuk majalah, disamping menjualnya secara berasingan.
Sebelum membeli, para pengguna juga diberikan kebebasan untuk melihat terlebih dahulu melalui sokongan pra-lihat, sekaligus memberikan anda pengalaman pembelian sama seperti di kedai buku fizikal yang lain. Namun, buat masa ini, paparan yang diperlihatkan agak kecil, dan kadangkala kelihatan tidak berfungsi. Memandangkan terdapat beberapa hari lagi sebelum ia dilancarkan, mungkin kelak akan melalui perubahan padanya.
Pembelian
Untuk tujuan pembelian, dua medium berbeza disediakan oleh Karangkraf, dimana untuk pengguna iOS, ia menggunakan sokongan In App Purchase, membolehkan anda membeli terus melalui akaun iTunes anda tanpa sebarang masalah. Ini mungkin adalah salah satu sebab mengapa pada eMall versi iOS, ia memperlihatkan harga dalam bentuk USD.
Pembelian melalui bank tempatan untuk pengguna Android
Untuk pengguna Android pula, ia menggunakan penghargaan dalam bentuk RM, dan untuk membelinya, para pengguna akan diberikan pilihan, sama ada melalui kad kredit ataupun bank tempatan. Mengikut pilihan pengguna, mereka kemudiannya akan dibawa kepada pelayar web untuk memasukkan maklumat dan sebagainya. Semestinya ini akan diminati ramai, memandangkan memudahkan para pengguna tempatan melakukan pembelian menggunakan bank tempatan.
Pembacaan
Seperti kebanyakkan aplikasi, ia menawarkan pembacaan yang dioptimasikan pada skrin peranti mudah-alih. Pada aplikasi eMall ini juga, Karangkraf membawakan sokongan bookmark, membolehkan anda menandakan sehingga mana anda telah membaca, dan kemudiannya menyambungnya pada kemudian hari, amat berguna untuk pembacaan buku dan novel yang ditawarkan Karangkraf.
Disamping itu, ia menggunakan akaun Ookbee, yang mana anda boleh daftarkan sekiranya ingin sync pembelian anda pada pelbagai jenis peranti.
Sokongan melihat thumbnail, dan halaman turut disediakan padanya, untuk memudahkan anda melihat apakah yang dibawakan oleh sesuatu majalah tersebut, dan terus ke kandungan yang diminati anda.
Pelancaran
Pihak Karangkraf bakal melancarkannya secara rasmi kepada semua pengguna iOS dan juga Android pada Awal Muharram ini, iaitu 15 November 2012, sekaligus memulakan langkah mereka dalam industri penerbitan digital.
- Ikuti perkembangan semasa berkaitan eMall ini daripada halaman Facebook rasmi – eMall Karangkraf