Sementara pengguna iOS 6 di Malaysia telah pun menggunakan sokongan navigasi (turn-by-turn) melalui Apple Maps, namun untuk Google Maps ia masih menjadi tanda tanya. Namun, Google kelihatan memberikan perhatian untuknya dengan mengembangkan ke satu demi satu negara, dan terkini, jiran kita Singapura.
Masih tidak diketahui berkenaan dengan pengenalan untuk Malaysia
Untuk pengguna di Singapura, ataupun mereka yang selalu ke Singapura, semestinya sokongan ini adalah salah satu perkara yang dinantikan. Google dikatakan akan memperkenalkannya kepada pengguna di Singapura lewat hari ini, dan mungkin sedia dicuba semua secara berperingkat dalam minggu ini.
Google Maps Navigation yang masih dilabelkan sebagai beta ini boleh digunakan pada peranti yang menggunakan Android 2.2 dan ke atas, dan seperti semua sedia maklum, terdapat beberapa kaedah untuk menggunakannya. Namun, untuk pengenalan secara rasmi, ia masih tidak diketahui bilakah akan diperkenalkan untuk pengguna tempatan.
Sebelum ini, Google turut sama memberikan perhatian kepada Malaysia, dengan memperkenalkan sokongan trafik dan transit pada Google Maps. Rakaman Street View pada beberapa lokasi juga sedang dalam proses, dan diura-ura akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan.
Sebagai alternatif lain untuk Google Maps Navigation, salah satu aplikasi popular dikalangan pengguna seluruh dunia adalah Waze yang menyediakan antara sokongan navigasi terbaik selain fungsi melihat trafik dan sebagainya padanya.