Carian
Karangkraf Melancarkan Aplikasi eMall Secara Rasminya
November 15, 2012 Aman

Karangkraf, seperti mana yang dinantikan, mereka memulakan tahun 1434H dengan memperkenalkan penyertaan mereka dalam dunia penerbitan digital, melalui eMall, dan secara rasminya melancarkan aplikasi Android dan iOS untuknya.

Buat masa ini, hanya dua platform sahaja yang disokong, selain mereka turut sama menyediakan halaman khas pada web, membolehkan pengguna mengakses menggunakan pelayar web mereka.

Untuk versi digital, Karangkraf menyediakan majalah dan juga buku terbitan mereka, dan menariknya, ia ditawarkan pada harga yang lebih murah berbanding versi fizikal. Selain daripada itu, untuk pilihan pembelian, pengguna boleh memilih untuk membeli hanya satu edisi, ataupun secara tahunan atau semi-tahunan untuk sesuatu majalah.

Aplikasi iOS dan juga Android, kedua-duanya dioptimasikan untuk paparan pada tablet mahupun telefon pintar, membolehkan para pengguna membacanya dengan mudah menggunakan peranti sebarang saiz. Untuk tujuan pembelian pula, pengguna iOS dipautkan terus ke akaun iTunes mereka melalui In-App Purchase, manakala pengguna Android dibawa kepada sebuah halaman khas, membolehkan pengguna memilih medium pembayaran, sama ada melalui kad kredit ataupun bank tempatan.

Bagi mereka yang berminat, mungkin boleh mendapatkan aplikasi iOS dan Android eMall Karangkraf ini secara percuma, dan menggunakannya dalam mengikuti majalah kegemaran ataupun membeli buku yang diminati. Sebagai promosi pengenalan, Karangkraf turut menawarkan majalah Pa&Ma bulan September secara percuma melalui eMall Karangkraf.


Komen