Sekiranya anda baru sahaja bertapak dalam industri yang diceburi, kemungkinan besar anda tidak akan mempunyai pejabat. Kemungkinan besar anda risau tiada pangkalan untuk beroperasi. Kemungkinan besar anda risau akan imej dan apa yang difikirkan pelanggan sekiranya mengetahui anda tiada pejabat. Ini semua stigma pemikiran lama.
Kita boleh lihat semakin banyak khidmat ‘pejabat maya’ disediakan di bandar-bandar utama. Pejabat maya ini menawarkan perkhidmatan yang murah dimana pada harga serendah RM50 sebulan, anda boleh mempunyai alamat yang berprestij dan juga tempat untuk pelanggan anda menghantarkan barangan. Bergantung pada pakej yang dipilih, ada juga servis khidmat pelanggan dimana akan ada jurucakap yang melayan sebarang panggilan yang diterima atau setidaknya mengalihkan panggilan tersebut kepada anda.
Bagi beberapa universiti tempatan, ia turut sama menyediakan beberapa perkhidmatan dan sokongan untuk usahawan muda dan bagi sesiapa yang ingin memulakan perniagaan, dimana menawarkan ruangan pejabat kecil, serta beberapa sokongan biasa, seperti sambungan internet, nombor telefon khas dan sebagainya. Disamping itu, anda juga boleh terus mendapatkan bantuan ataupun pendapat daripada para pensyarah dengan mudah, apatah lagi memandangkan anda pernah belajar di sana sebelumnya, maka ia akan lebih mudah.
Untuk tujuan mesyuarat pula, mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana untuk melakukannya, memandangkan anda mungkin tidak mempunyai ruangan yang sesuai. Untuk ini, anda boleh mengadakan sesuatu perjumpaan di beberapa kafe yang selalunya terdapat di beberapa lokasi utama, ataupun untuk lebih mudah, mengadakannya di pejabat ataupun lokasi klien atau pelanggan anda, bergantung kepada keadaan.
Kelebihan mengadakan mesyuarat di pejabat klien:
- Kita dapat mengetahui serba sebanyak perkara berkenaan klien tersebut dengan lebih dekat.
- Kita dapat mengetahui keupayaan klien tersebut dalam industri yang diceburi mereka.
- Kemudahan internet yang sedia ada tanpa perlu berbelanja di kafe.
Kelebihan mengadakan mesyuarat di kafe
- Perjumpaan di kafe lebih mesra dan kurang protokol berbanding pejabat
- Mengurangkan beban tekanan kerana ini bukan kawasan klien.
- Perlu berhati-hati dalam memilih kafe supaya ia tidak terlalu bising dan boleh mengganggu perjumpaan. Biasanya, Starbucks akan menjadi pilihan ramai untuk tujuan ini.
- Info
- Kalau anda perlu rujukan tempat yang selesa boleh lawati Officekami
Elakkan daripada memilih kafe atau tempat makan yang bising seperti restoran mamak dan sebagainya, memandangkan ia akan mengehadkan komunikasi dan mungkin anda akan terganggu, ataupun pelanggan atau klien mungkin merasa kurang selesa dengan lokasi yang mempunyai ramai orang. Sekiranya kita yang menetapkan temujanji tersebut, perlulah ada hospitaliti dan memilih tempat yang selesa untuk pelanggan kita.
Jadi tempat manakah yang selalu jadi pilihan anda?