Selain Google, nampaknya, Microsoft turut sama mempunyai projek kaca mata pintar dengan teknologi Augmented Reality mereka tersendiri, dimana walaupun ia tidak diumumkan secara rasmi, tetapi diketahui melalui salah satu permohonan paten oleh Microsoft.
Namun, berbeza dengan Project Glass yang dilihat boleh digunakan untuk pelbagai perkara, melalui paten yang dipohon oleh Microsoft, ia kelihatan lebih memfokuskan kepada acara-acara utama seperti konsert ataupun sukan dan permainan, dimana dengan menggunakannya, pengguna boleh mengetahui pelbagai maklumat berkenaan sesuatu acara, seperti nama pemain, info tambahan dan sebagainya.
Daripada permohonan yang dilihat, ia telah dipohon ketika Mei 2011, yang mana mungkin sekiranya Microsoft membangunkannya dan menguji secara dalaman, ia mungkin telah membawakan pelbagai fungsi lain padanya.
Google pula, melalui Project Glass kelihatan mendapat perhatian ramai, malah dilabelkan sebagai salah satu inovasi terbaik tahun ini. Prototaip awal dijangka akan dihantar kepada para pembangun pada tahun hadapan, sebelum ia mula dijual sekitar 2014 kelak.