Cari @ Amanz

Facebook bakal memperkenalkan perkhidmatan seumpama AdSense?Bagi para pengguna Facebook, mungkin sedia maklum akan perbincangan mengenai perubahan pada polisi dan terma mereka beberapa hari yang lepas, yang mana membawakan kepada salah satu perubahan besar, dimana Facebook bakal menggunakan data-data mengenai kesukaan anda untuk memperlihatkan iklan di luar Facebook.

Sebelum ini sendiri, Facebook telah memperlihatkan beberapa perkara seperti artikel yang dibaca rakan-rakan dan sebagainya, apabila kita melayari sesuatu laman dengan integrasi Facebook, dan sekiranya polisi terbaru ini diperkenalkan, ia akan memperlihatkan apakah yang bakal dibawakan oleh gergasi sosial tersebut dalam beberapa bulan lagi.

Iklan pada Instagram?Salah satu perkara yang mungkin kita akan dapat melihat adalah iklan daripada Facebook dipertontonkan pada Instagram. Seperti semua sedia maklum, Instagram merupakan salah satu produk yang dimiliki oleh Facebook, dan buat masa ini beberapa integrasi telah pun sedia dilakukan, termasuk apabila ingin menghantar sebarang aduan gambar, ia membawa kepada halaman di domain Facebook.

Dan dengan perubahan polisi ini, ia juga bakal membolehkan Facebook memaparkannya pada Instagram dengan mudah, sekaligus menawarkan lebih pilihan kepada para pengiklan. Tetapi, semestinya Facebook perlu mencari salah satu cara yang tidak begitu menganggu dan memberikan efek kepada komuniti Instagram yang selama ini telah menggunakan produk bebas iklan tersebut.

Buat masa ini, Facebook membenarkan pengiklanan mereka diintegrasikan pada aplikasi-aplikasi di laman Facebook, membolehkan mereka yang menghasilkan permainan atas-talian dan menggunakan platform Facebook menjana pendapatan tambahan, selain daripada Facebook Credit.

Pada masa yang sama, beberapa penganalisa juga turut mengatakan Facebook bakal turut memperkenalkan produk seumpama Google AdSense melalui enjin pengiklanan mereka. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah diperkatakan sejak penghujung tahun lepas, dan dengan perubahan polisi ini, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

Industri pengiklanan bernilai berbilion ringgitFacebook, lebih kurang seperti Google, telah pun sedia mempunyai pelbagai jenis data, dan membolehkan mereka memperlihatkan iklan yang lebih peribadi kepada setiap pengguna di sebarang laman yang dilayari. Perkara ini semestinya akan mengembirakan ramai pengiklan, dan pada masa yang sama akan mengembirakan pelabur Facebook, dan menjana lebih pendapatan dibawah jenama Facebook.

Dan memandangkan Facebook telah sedia memperkenalkan OpenGraph dengan membolehkan aktiviti di laman web lain turut dipaparkan pada profil kita dan dikongsikan bersama rakan-rakan, semestinya integrasi ini pada pengiklanan di web ketiga akan menguntungkan para pengiklan sendiri, disamping pemilik web menjana pendapatan tambahan melaluinya.

Google sendiri pada hari ini menjana berbilion ringgit melalui pengiklanan dan mungkin arena ini tidak akan terlepas pandang oleh Facebook. Namun, persoalannya kini adalah berapa lama Facebook akan mengambil, sebelum ia mencabar Google dalam arena pengiklanan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd