Cari @ Amanz

Nokia terus memperkenalkan peranti mampu milik mereka untuk pasaran membangun, iaitu Nokia Asha 205, yang mana membawakan papan kekunci QWERTY dan memfokuskan kepada pengguna yang gemar bersosial. Peranti ini turut menjadi peranti pertama daripada Nokia yang menyertakan butang Facebook padanya.

Nokia Asha ini juga turut dilengkapi dengan teknologi baru yang dipanggil sebagai Nokia Slam, yang mana memudahkan para pengguna menghantar media daripada peranti mereka dengan mudah kepada peranti-peranti lain yang menyokong Bluetooth yang berdekatan dengannya, tanpa perlu melalui pelbagai proses seperti pairing dan sebagainya.

Pada masa yang sama, memandangkan ia memfokuskan kepada pasaran pembangun, Nokia turut menyertakan Xpress Browser padanya, membolehkan pengguna menjimatkan penggunaan data untuk internet sehingga 90% berbanding kebiasaannya. Tiada GPS terbina didatangkan, tetapi ia menggunakan menara telekomunikasi dalam menentukan kedudukan serta membolehkan pengguna menggunakan Nokia Maps padanya.

Nokia menjanjikan penggunaan masa bateri sehingga 37 hari dalam mod bertahan, dan selama 11 jam dalam mod bercakap. Dari segi spesifikasi lain, ia turut dilengkapi dengan skrin 2.4-inci QVGA, papan kekunci QWERTY, kamera VGA, memori 10MB dengan sokongan kad mikro-SD sehingga 32GB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd