RapidShare, beberapa minggu sebelum ini telah mengumumkan beberapa perubahan untuk perkhidmatan storan atas-talian mereka, dan hari ini, ia diimplementasikan secara rasminya, bersama-sama pelancaran RapidDrive 1.0 kepada para pengguna Windows.
RapidShare, melalui perubahan yang dilakukan, mengehadkan muat-turun yang dilakukan oleh para pengguna umum melalui perkhidmatan mereka, sekaligus mengurangkan perkhidmatan mereka disalah guna untuk mengedarkan fail dan dokumen berhak-cipta.
Para pengguna RapidPro akan mendapat penggunaan muat-turun sebanyak 30GB secara percuma setiap hari untuk setiap fail, manakala pengguna biasa akan mendapatk had muat-turun sebanyak 1GB sehari.
Ini bermakna, setiap fail yang dimuat-naik oleh pengguna RapidPro boleh dimuat-turun oleh pengguna umum secara percuma dengan had sehingga 30GB untuk sesuatu hari itu. Sebagai contoh, sekiranya fail yang dimuat-naik bersaiz 1GB, maka boleh dimuat-turun oleh seramai 30 pengguna, menjadikan jumlah 30Gb digunakan dalam sehari.
Bagi pengguna yang tidak berbayar pula, had muat-turun fail ditetapkan pada 1GB untuk setiap hari. Jadi, sekiranya seseorang pengguna yang tidak melanggan perkhidmatan memuat-naik fail mereka ke RapidShare, sebagai contoh bersaiz 200mb, maka ia akan dapat dimuat-turun sebanyak 5 kali untuk sesuatu hari.
Untuk pengguna yang memuat-naik sesuatu fail tersebut, ia boleh dimuat-turun tanpa had daripada akaun RapidShare mereka.
Selain perubahan drastik ini, RapidShare turut hadir dengan aplikasi khas untuk pengguna Windows, iaitu RapidDrive. Melaluinya, ia mengintegrasikan akaun RapidShare pengguna dengan Windows Explorer, dan membolehkan ia digunakan dan dikendalikan melalui antaramuka Windows Explorer, tanpa memasuki web. RapidShare turut mengatakan versi OS X akan hadir pada suku tahun pertama 2013 kelak.