Cari @ Amanz

Hari ini, Samsung secara rasminya telah pun melancarkan dan mengumumkan peranti terbaru mereka yang menggunakan sistem operasi Android, iaitu Samsung Galaxy Camera. Untuk pasaran Malaysia, ia akan ditawarkan pada harga RM1899, dan tiada sebarang pakej daripada syarikat telekomunikasi tempatan buat masa ini.

Spesifikasi Galaxy Camera
Cip 1.4GHz (empat-teras)
Sensor 16.3-megapixel, 21x zoom optikal
Storan Terbina 8GB + slot mikro-SD sehingga 32GB
Skrin 4.8-inci Super Clear LCD
Bateri 1650 mAh

Samsung Galaxy Camera ini menjadikan ia unik, memandangkan didatangkan bersama-sama sistem operasi Android. Namun, ia bukanlah kamera pertama yang menggunakan Android, memandangkan sebelum ini Nikon turut sama memperkenalkan peranti lebih kurang sama. Namun, Galaxy Camera didatangkan dengan sistem operasi lebih terkini, iaitu Android 4.1 Jelly Bean. Galaxy Camera turut didatangkan dengan skrin bersaiz sebesar 4.8-inci, paparan terbesar di sebarang kamera kompak.

Apa yang membezakan ia dengan kamera pada telefon pintar adalah dimana ia didatangkan dengan sensor sebesar 16-megapixel selain dilengkapi dengan sokongan zoom sehingga 21x. Bagi mereka yang selesa dengan tetapan manual juga, anda boleh mengubah tetapan pada Galaxy Camera, dan membuat lebih banyak rakaman menarik melaluinya.

Bagi mereka yang berminat, anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy Camera ini pada harga RM1899 daripada para pengedar Samsung rasmi tempatan, dan diketahui sebanyak 5,000 jualan pertama akan didatangkan dengan kad-SIM Hotlink Broadband secara percuma padanya. Untuknya, pengguna hanya perlu ke cawangan Maxis di KLCC, MidValley Gardens, atau Sunway Pyramid, dan pada masa yang sama akan menikmati ruangan storan percuma sehingga 25GB melalui Loker.

Kami akan berkongsi lebih lanjut berkenaan dengannya dalam artikel pandang pertama Samsung Galaxy Camera tidak lama lagi. Sementara itu, ikuti video ringkas berkenaan Galaxy Camera yang disediakan secara rasmi oleh pihak Samsung.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd