Cari @ Amanz

Surface masih lagi belum dilancarkan secara rasminya di Malaysia. Namun, bagi mereka yang inginkan Surface Pro, Microsoft hari ini secara rasminya telah pun mengumumkan yang mana ia akan mula dijual kepada para pengguna bermula daripada bulan Januari 2013 kelak.

Surface Pro yang menjalankan Windows 8 Pro bakal membawakan fungsi penggunaan komputer sepenuhnya, membolehkan anda memasang pelbagai perisian, walaupun tidak terdapat pada Windows Store, berbeza dengan Surface RT yang telah mula dijual sebelum ini.

Microsoft bakal menjual dua versi Surface Pro, iaitu Surface Pro versi 64GB dan juga Surface Pro versi 128GB. Untuk 64GB ia akan berharga $899 (~RM2740) manakala versi 128GB pula berharga $999 (~RM3042). Kedua-dua versi juga akan didatangkan bersama-sama Surface Pen menggunakan teknologi Palm Block, membawakan input berasaskan pen kepada Surface.

Dari segi spesifikasi, Surface Pro akan menggunakan cip pemprosesan Intel Core i5, membawakan skrin seluas 10.6-inci dengan paparan resolusi HD penuh pada 1920×1080 pixel. Ia turut didatangkan dengan sokongan USB 3.0 padanya.

Buat masa ini, bilakah Surface akan hadir ke pasaran Malaysia masih menjadi tanda tanya. Namun, mungkin seperti Surface RT yang dibawa masuk oleh beberapa penjual tempatan, kita mungkin akan dapat melihat perkara sama untuk Surface Pro ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd