Kad nama merupakan satu perkara yang sinonim dengan setiap orang. Baik bekerja mahupun tidak bekerja, ramai antara kita merasakan perlu untuk mempunyai kad nama yang bertulis nama, nombor telefon, email, alamat laman web dan juga alamat rumah. Saya masih ingat semasa berumur 12 tahun saya juga tidak terkecuali di dalam aktiviti menjual kad nama kepada rakan-rakan sekelas yang akan berpisah selepas UPSR. Kad nama dengan rekaan kartun Mutiara Naga, kereta lumba, dan sebagainya didedahkan kepada semua ramai seawal usia tersebut.
Ketika menubuhkan syarikat ataupun perniagaan dan perkhidmatan, antara nasihat awal daripada ramai pihak adalah untuk menyediakan kad nama dan juga memberikan kad nama kepada mereka-mereka yang di jumpai atas urusan perniagaan dan sebagainya. Menyediakan kad nama penting kerana ia akan berfungsi sebagai salah satu penjenamaan dan juga identiti rasmi kita terhadap sesuatu entiti – seperti syarikat, kelab, projek, jawatan dan sebagainya.
Tetapi perihal memberikan kad nama kepada semua orang, perkara itu adalah salah satu yang kurang di setujui.
Etika Memberikan Kad Nama
Seperti mana adab makan, adab masuk rumah, terdapat juga adab memberikan kad nama. Kadang-kala kita selalu lihat pada pelbagai majlis, ada sahaja seseorang yang akan menyelit dan memberikan kad nama mereka bagaikan memberikan kertas hebahan promosi di pusat membeli-belah. Ada yang menyelit memberikan kad nama dan meminta kad nama kembali sebagai balasan dan menambah bilangan “rakan perniagaan” mereka. Cara tersebut adalah membazir dan juga tidak sebegitu bagus untuk penjenamaan diri anda, mahupun untuk entiti yang diwakili.
Ini kerana tidak tentu penerima kad nama anda akan menggunakan khidmat atau produk anda. Ramai yang akan mengatakan – “apa yang penting, lebih ramai orang tahu mengenai khidmat/produk kita”. Ini merupakan tanggapan yang kurang tepat.
Kad nama merupakan sesuatu yang peribadi. Lebih baik sekiranya kita meletakkan tujuan kepada siapa kita mahu memberikan perkhidmatan dan menjual produk kita. Lebih baik kita mengenal pasti kepada siapa kita perlu jualkan servis kita ataupun ingin bekerjasama. Dengan cara ini, ia lebih memungkinkan kad nama anda untuk digunakan dengan lebih efektif, iaitu apabila si penerima menghubungi kita.
Adalah kelakar sekiranya tugas kita menjual sesuatu produk, tetapi memberikan kad nama kepada seseorang yang bukan didalam prospek pelanggan kita. Kad kita akan terbazir begitu sahaja.
Berkenalan Sebelum Memberikan Kad Nama
Oleh itu, penting untuk kita berkenalan sebelum memberikan kad nama supaya kita boleh mengetahui dengan siapa kita berkenalan dan adakah beliau relevan dengan kriteria prospek klien yang kita perlukan. Dan sekiranya beliau tidak relevan, bukan bererti kita tidak boleh memberikan kad nama, tetapi perlu untuk kita luangkan masa tambahan supaya beliau boleh menjadi penjual servis kita.
Saya masih ingat semasa menjual servis laman web jemputan majlis perkahwinan di satu pameran perkahwinan, seorang wanita datang kepada saya. Beliau mencarikan produk untuk majlis perkahwinan anak beliau tetapi kurang pengetahuan didalam IT menyebabkan terdapat sedikit jurang komunikasi. Saya hanya meluangkan sedikit masa, memberikan dua kad nama dan memesan pada beliau supaya memberikan kad nama saya kepada anaknya. Hasilnya saya dapat seorang klien yang sudah tentu tiada masalah dengan bayaran, kerana yang bayar emaknya dan yang gembira anaknya.
Selain dari tidak memberikan kad nama kita secara semberono, kita juga perlu melihat pada situasi untuk memberikan ia.
Situasi Yang Tepat Untuk Memberikan Kad Nama
Seperti pengalaman saya diatas, wanita yang datang ke pameran perkahwinan kerana mencari produk berkaitan. Jadi perlu juga bagi kita mengenal-pasti majlis dan acara tertentu yang akan menjadi situasi terbaik untuk memberikan kad nama. Kita juga perlu mengubah gaya penyampaian maklumat berkenaan produk/servis kita supaya sesuai dengan situasi tersebut. Mengambil contoh terdahulu, sekiranya anda penjual jentera berat, acara berkaitan pembangunan laman web mungkin tidak mempunyai peserta yang mampu membeli jentera berat anda.
Mendapatkan Kad Nama Adalah Lebih Penting Dari Memberikan Kad Nama
Jangan berikan kad nama secara semberono dan dapatkan kad nama prospek yang anda cari. Hubungi mereka melalui emel selepas perjumpaan tersebut dan cukup sekadar ‘Terima kasih atas perjumpaan tadi, dan sekiranya anda berminat dengan produk kami, layari (alamat website)’. Jangan hantar emel pertama anda yang panjang lebar menerangkan servis anda. Sebagai mana dalam taktik menarik hati pasangan, kita tidak boleh menyumbatkan semua info berkenaan kita pada hari pertama perkenalan.
Hantarlah emel pada mereka apabila ada perkara yang berkaitan dengan mereka (seperti hari perayaan) dan juga pekerjaan yang dilakukan oleh mereka. Dengan cara ini boleh memungkinkan kerjasama akan datang, disamping mengeratkan hubungan antara syarikat anda.
Kad Nama Pada Era Teknologi
Pada masa kini, kad nama mungkin boleh digantikan dengan identiti digital, sekaligus menjimatkan kos awal dalam pembinaan syarikat atau perniagaan anda. Sebagai contoh, salah satu syarikat tempatan yang menawarkan perkhidmatan percuma untuk kad nama digital adalah Radd.me, dimana melaluinya, ia membawakan sokongan kad nama dalam bentuk digital yang boleh ditukar sesama pengguna dengan mudah.
Evernote juga boleh digunakan untuk menambah senarai hubungan dan rakan-rakan, dimana melalui salah satu aplikasi mereka, Evernote Hello, ia membolehkan pengguna menambah pelbagai data, selain pada masa yang sama menyimpannya untuk diakses pada kemudian hari. Anda turut sama boleh merakamkan gambar mereka menggunakan peranti pintar, supaya boleh mengingat akan identiti mereka.
Dan sekiranya anda ingin menjimatkan kos, mungkin boleh menyemak laman Moo.com, dimana kadang-kala mereka menyediakan promosi, dan memberikan perkhidmatan percetakan kad nama secara percuma.
Antara alternatif lain adalah seperti Poken, ataupun bertukar identiti melalui penggunaan kod QR, seperti pada BlackBerry Messenger dan sebagainya
Kesimpulan
Selepas anda menerima kad nama anda, penting untuk anda:
- Mengenal pasti siapa bakal pelanggan anda
- Berkenalan sebelum memberikan kad nama anda
- Memberikan kad nama hanya apabila dipinta dan bukan secara semberono
- Akhir sekali apabila bertukar kad nama, hubungi mereka tetapi jangan lakukan setiap hari mahupun setiap minggu. Cukuplah hubungi mereka apabila ada kemaskini yang teramat penting berkenaan anda dan juga apabila musim perayaan.