Salah satu perkara yang menjadi halangan untuk para pengguna di negara-negara membangun untuk menggunakan internet adalah disebabkan kos untuknya yang agak tinggi, dan kadang-kala akses internet yang agak perlahan, dan beberapa tanggapan yang lain.
Untuk mengatasi perkara ini, Google sendiri melaburkan duit mereka selain bekerjasama dengan kerajaan dan juga syarikat telekomunikasi dalam memudahkan akses internet dikalangan penduduk di negara-negara membangun.
Google Chrome
Pelayar web daripada Google ini, merupakan pelayar web yang paling popular dikalangan pengguna di negara-negara membangun ini. Salah satu sebab utama ramai menggunakannya adalah disebabkan kerana ia berfungsi pantas, dan membolehkan pengguna melihat kandungan lebih pantas berbanding yang lain.
Google FreeZone
Google FreeZone telah diperkenalkan di Filipina beberapa minggu yang lepas, membolehkan para pengguna mengakses GMail, membuat carian internet, selain mengakses ke Google+ secara percuma terus daripada peranti mudah-alih mereka, tanpa dikenakan sebarang caj padanya.
Ia dijangka sokongan ini akan diperluaskan kepada lebih banyak negara tidak lama lagi, terutamanya kepada negara-negara yang sedang membangun ini.
GMail Inbox Preview
Salah satu fungsi yang telah diperkenalkan oleh Google jauh sebelum ini adalah sokongan GMail Inbox Preview, membolehkan para pengguna untuk melihat kandungan inbox emel mereka terlebih dahulu, sebelum inbox dibuka sepenuhnya.
Menyediakan Akses Internet Melalui SMS
Google turut sama bekerjasama dengan pelbagai syarikat telekomunikasi dalam menawarkan perkhidmatan internet melalui SMS. Salah satu perkhidmatan yang popular di kalangan pengguna tempatan, dan disokong oleh Maxis, Celcom dan juga DiGi adalah GMail SMS, membolehkan para pengguna berinteraksi dan menerima pelbagai kemaskini menerusi SMS.
Google Malaysia Business Online
Selain mengalakkan pengguna mengakses internet, Google turut sama mengalakkan perniagaan kecil dan sederhana untuk menawarkan perkhidmatan dan produk mereka menerusi internet. Untuknya, mereka menyediakan GMBO, yang mana disediakan dengan kerjasama pihak Domain Registry .MY di Malaysia, membolehkan perniagaan memulakan laman web mereka secara percuma.
Selain daripada ini, Google juga bakal hadir dengan pelbagai perkara lain yang mana akan menggalakkan pengguna dan juga perniagaan lebih memfokuskan kepada penggunaan internet dan web.