Google Crisis Response Membolehkan Informasi Kritikal Disampaikan Pada Masa Yang Tepat

Google Crisis Response Membolehkan Informasi Kritikal Disampaikan Pada Masa Yang Tepat

Diterbitkan pada Dis 3, 2012 oleh .

Google boleh dikatakan salah satu halaman utama yang dikunjungi oleh pengguna setiap hari, ataupun setiap masa mereka membuka pelayar web. Dan menggunakan kelebihannya, Google turut membawakan projek komuniti yang dinamakan sebagai Crisis Response.

Google Crisis Response ini memfokuskan kepada membawakan informasi dalam bentuk masa-nyata ketika berlakunya beberapa keadaan yang tidak diingini seperti banjir, tsunami, gempa bumi, puting beliung, dan pelbagai keadaan kecemasan yang lain.

Google sendiri untuk memudahkan pengguna mengetahui keadaan semasa, mereka bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di beberapa buah negara, dalam menyampaikan informasi dan keadaan semasa kepada semua.

Sekiranya berlaku keadaan yang tidak diingini seperti ini, Google melalui halaman utama mereka akan memaparkan sebuah teks amaran, selain membawakan integrasi info semasa dalam masa-nyata pada enjin carian mereka, disamping menyediakan halaman khas pada Crisis Response.

Pada masa yang sama, bagi mereka yang menggunakan peranti Android 4.1 Jelly Bean dan terbaru, Google turut sama memperlihatkan info semasa dan amaran melalui penggunaan Google Now, membolehkan para pengguna mengetahui keadaan semasa, dan apakah yang boleh dilakukan oleh mereka.

Pada masa akan datang, Google juga mengatakan mereka akan menggunakan YouTube dengan lebih meluas dalam menyampaikan pelbagai informasi semasa kepada para pengguna seluruh dunia. Google juga mengatakan, dengan fokus mereka kepada negara-negara membangun, dan penggunaan feature phone yang agak tinggi di sana, mereka sedang dalam usaha untuk menyampaikan info kecemasan semasa kepada para pengguna di sana. Namun, bagaimanakah ia akan dijayakan masih tidak dikongsikan buat masa ini.

Info lanjut : Google Crisis Response


TIPS & ULASAN