Surface RT2, Surface Book, Microsoft Pro
Dengan dunia tablet yang semakin popular akhir-akhir ini, Microsoft sendiri telah memperkenalkan tablet mereka, Surface RT yang mana telah dijual di beberapa buah negara. Dan mengikut ura-ura terbaru, Microsoft dikatakan akan hadir dengan tiga tablet baru sepanjang tahun hadapan.
Salah satu daripadanya – “Surface RT2” dikatakan akan membawakan skrin bersaiz 8.6-inci, dan menggunakan cip pemprosesan Qualcomm. Selain daripada itu, “Surface Book” pula dikatakan akan hadir dengan skrin bersaiz 14.6-inci dan menggunakan cip pemprosesan Intel Haswell, selain “Microsoft Pro” yang dikatakan akan membawakan skrin bersaiz 11.6-inci dengan cip pemprosesan AMD “Temash” APU.
Ketiga-tiganya akan membawakan saiz skrin yang berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh Surface RT pada hari ini. Selain Surface RT, dengan saiz skrin yang lebih kurang serupa, Microsoft bakal mulakan penjualan Surface Pro pada awal tahun hadapan.
Ia boleh dikatakan Microsoft agak lambat menyertai industri pengeluaran peranti, dimana selama ini mereka lebih memfokuskan kepada perisian dan sistem operasi. Selain daripada tablet-tablet yang diura-urakan ini, sebelum ini ia turut diperkatakan Microsoft bakal hadir dengan tablet Xbox mereka tidak lama lagi.