Cari @ Amanz

Selama dua hari ini, kita mendengar pelbagai ura-ura mengatakan Facebook bakal mengambil-alih WhatsApp, dan menariknya, kini, Facebook sendiri, melalui aplikasi Messenger mereka, memperkenalkan perkhidmatan seumpama WhatsApp, memerlukan para pengguna daftar masuk hanya menggunakan nama dan nombor telefon sahaja.

Buat masa ini, aplikasi Facebook Messenger yang baru masih belum diterbitkan pada Google Play Store, maka kami tidak dapat menguji bagaimana ia akan berfungsi.

Daripada apa yang Facebook kongsikan, ia mengatakan para pengguna boleh membuat akaun Messenger dengan hanya menggunakan nama dan nombor telefon, dan kemudiannya berkomunikasi dengan rakan-rakan anda yang lain dengan mudah.

Namun, berbeza dengan WhatsApp, para pengguna agak tidak mempercayai Facebook apabila hadirnya kepada penggunaan data peribadi seperti nombor telefon dan sebagainya, memandangkan ramai yang risau ia akan digunakan untuk tujuan pengiklanan dan sebagainya.

Facebook sendiri, melalui aplikasi mudah-alih mereka untuk Android, iOS dan sebagainya, membuat salinan buku alamat anda, dan menyimpannya pada pangkalan data mereka melalui Phonebook Contacts. Dan mungkin dengan penggunaan Facebook Messenger yang baru ini, ia akan menarik dan menyimpan data di sana.

Kemaskini Facebook Messenger yang baru akan diperkenalkan pada Google Play Store pada awal pagi esok.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd