Dengan fokus Nokia terhadap Windows Phone, selain daripada dua peranti Windows Phone 8 yang telah diumumkan sebelum ini, kini mereka turut menambah Lumia 620, yang mana membawakan skrin bersaiz 3.8-inci dengan sistem operasi yang sama.
Dari segi spesifikasi, Lumia 620 ini membawakan cip pemprosesan dwi-teras 1GHz Qualcomm Snapdragon S4, memori sebanyak 512MB RAM, dan juga kamera 5-megapixel pada bahagian belakang. Sokongan NFC turut didatangkan bersama-sama padanya, selain membolehkan para pengguna menambah ruangan storan terbina 8GB padanya melalui penggunaan kad mikro-SD.
Ia akan didatangkan dalam pilihan warna hijau, jingga, magenta, kuning, putih, hitam dan juga cyan. Harga jualan tempatannya masih tidak dipastikan lagi buat masa ini, dan dijangka sekitar RM750 bermula pada awal tahun hadapan.