Cari @ Amanz

Pengecasan tanpa wayar, ataupun lebih dikenali dalam terma berbahasa Inggeris – wireless charging semakin popular akhir-akhir ini, dengan lebih banyak peranti baru, seperti Lumia 920, Galaxy S3 dan beberapa yang lain membawakan sokongan untuknya.

Bagaimanakah Ia Berfungsi?

Pengecasan tanpa wayar ini, ataupun lebih dikenali sebagai “pengecasan secara induktif” merupakan proses mengecas peranti tanpa memerlukan anda menghubungkan wayar padanya, tetapi sebaliknya hanya meletakkan ia di atas stesen pengecasan.

Fungsi ini bukanlah sesuatu yang baru, dimana ia telah diperkenalkan jauh sebelum ini, termasuk pada telefon pintar Palm. Namun, akhir-akhir ini, kelihatan ramai pengeluar bersedia untuknya, dan mula memperkenalkan sokongan tersebut kepada peranti keluaran mereka.

Stesen pengecasan ini biasanya akan menggunakan medan elektromagnetik dalam menghantar tenaga kepada sesebuah objek yang boleh menerimanya melalui gegelung induktif pada peranti tersebut.

Buat masa ini, teknologi pengecasan induktif ini hanya menyokong penghantaran tenaga pada jarak yang singkat, sekadar beberapa milimeter sahaja.

Disebabkan ini, maka peranti perlu diletakkan di atas stesen pengecasan untuk proses mengecas, dan mungkin kadang-kala mengambil masa yang lebih lama berbanding kebiasaan, menjadikan ia kurang efisyen berbanding menggunakan sambungan fizikal seperti sedia ada.

Piawaian Untuk Pengecasan Induktif – Qi

Sehingga kini, teknologi pengecasan tanpa wayar tidak mempunyai piawaian yang tetap, menjadikan setiap pengeluar menggunakan piawaian yang berbeza-beza. Namun, pada tahun ini, ia telah dibincangkan dan diperkenalkan sebagai Qi untuk piawaian dalam pengecasan tanpa wayar ini.

Antara pengeluar peranti yang menggunakan piawaian Qi ini adalah termasuk HTC, Huawei, LG, Motorola, Nokia, Samsung dan juga Sony.

Melaluinya, mereka menetapkan yang mana jarak antara dua gegelung (penerima dan penghantar) adalah sekitar 5mm, dan mungkin boleh dibangunkan sehingga jaraknya mencapai 40mm.

Masa Depan Pengecasan Tanpa Wayar

Memandangkan lebih banyak peranti yang mula menyokongnya akhir-akhir ini, ia menjadikan sesetengah pengeluar membuat kerjasama dengan pihak kafe, kedai makan dan sebagainya, dalam menyediakan pusat pengecasan induktif pada meja makan dan sebagainya. Namun, di Malaysia, perkara ini masih belum bermula sepenuhnya lagi, tetapi mungkin akan berlaku dalam setahun dua lagi.

Pada masa yang sama, kajian juga sedang dilakukan dalam membolehkan tenaga pengecasan dihantar pada jarak yang lebih jauh, dan jumlah tenaga yang dihantar lebih banyak daripada sedia ada, menjadikan peranti boleh dicaj dengan mudah pada jarak yang jauh.

Walaupun ia mungkin akan mengambil masa yang agak lama sebelum teknologi ini berjaya sepenuhnya, namun dengan langkah-langkah awal ini, mungkin kita dapat melihat teknologi untuk mengatasi jangka hayat bateri yang singkat dengan pengenalan sokongan pengecasan tanpa wayar kemana-mana jua kita pergi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd