Carian
10 Animasi Tempatan Dipertontonkan Di Asian Summit Animation
December 11, 2012 Aman

Di Malaysia, dunia animasi tempatan semakin berkembang dengan positif dari hari ke hari, apatah lagi dengan pelbagai bantuan kewangan yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui beberapa badan seperti MDeC dan sebagainya.

Pada Asian Summit Animation yang diadakan pada hari ini dan semalam, sebanyak 10 syarikat animasi tempatan menyertainya, dan memperlihatkan pelbagai projek mereka yang telah mula ditayangkan pada tahun ini, dan beberapa animasi yang bakal hadir pada tahun-tahun akan datang.

Rimba Racer

Dibangunkan oleh Glue Studios. Membawakan pelbagai watak-watak binatang dan mengisahkan mengenai perlumbaan di antara mereka. Rimba Racer ini merupakan animasi berbentuk siri, dan telah memenangi IPCC Animation Super Pitch 2011/2012.

Sunsastera

Dibangunkan oleh R&D Studio. Sunsastera membawakan kisah mengenai sebuah mesin yang memanipulasi cuaca dalam pelbagai cara dalam memastikan remaja yang disukainya kekal gembira.

Animasi ini telah memenangi IPCC Animation Super Pitch 2011/2012, menduduki tempat pertama yang sama dengan Rimba Racer. Ia masih tidak diketahui bilakah animasi ini akan ditayangkan di kaca televisyen.

The Amazing Awang Khenit

Dibangunkan oleh Sead Studios. Seperti yang dapat dijangkakan daripada tajuk siri animasi ini, ia membawakan kisah adiwira yang dinamakan sebagai Awang Khenit dalam membantu penduduk kampung kekal selamat dan bebas daripada pelbagai makhluk lain.

Dunia Eicak

Dunia Eicak ini merupakan salah satu animasi yang telah pun mula dimainkan di kaca televisyen melalui TV3, dimana beberapa episodnya telah pun terdapat di saluran YouTube mereka. Dibangunkan oleh Addeen Multimedia.

Origanimals

Dibangunkan oleh Giggle Garage, dimana membawakan siri animasi berbentuk pembelajaran memfokuskan kepada para pelajar pra-sekolah.

Totally Tentastic!

Dibangunkan oleh Story Me Studios. Tiada informasi berkaitan dengannya yang dapat dikumpulkan kami buat masa ini.

Zero Hero

Dibangunkan oleh Tapir Reka Studio. Ia membawakan jalan cerita berbentuk kasual, mengisahkan watak orang tua dengan pasangan beliau, seekor Tapir dan juga cucu perempuan dalam keinginan menjadi adiwira dalam membantu orang lain.

Zoorocco

Dibangunkan oleh Tripod Entertainment, studio sama yang membangunkan animasi World of War : Goliath. Maklumat lanjut berkaitan animasi ini masih samar-samar. Apa yang diketahui adalah dimana animasi ini menggunakan slogan dan tema – “hutan liar di galaksi menjadi lebih liar”.

Harry & Bunny

Dibangunkan oleh AnimasiaStudio, studio sama disebalik animasi Bola Kampung. Animasi Harry & Bunny ini berbentuk santai yang mengisahkan tiga watak, Harry (ahli silap mata), Bunny (arnab yang membantu Harry di pentas), yang mana mempunyai perhubungan yang rapat, tetapi kadang-kala tidak menyukai antara satu-sama lain dan mempunyai konflik harian mereka tersendiri.

Pada Zaman Dahulu (Once Upon a Time)

Animasi daripada Les Copaque ini telah pun ditayangkan di kaca televisyen tempatan, dimana pada Asian Animation Summit ini mereka mempersembahkan musim ke-tiga siri tersebut.

Komen