Ura-ura dan juga desas-desus mengenai sesuatu peranti, jauh sebelum ia diperkenalkan telah menjadi salah satu kebiasaan akhir-akhir ini. Kini, terbaru, ia kedengaran mengatakan yang mana Galaxy Note 3 kelak akan membawakan skrin bersaiz 6.3-inci padanya.
Buat masa ini, perkara ini tidak disahkan oleh pihak Samsung. Namun, mengikut laporan pihak Korea Times, ia dikatakan Samsung sedang membangunkan Galaxy Note 3 dengan skrin 6.3-inci OLED padanya. Adakah skrin bersaiz ini praktikal ataupun tidak masih tidak diketahui, memandangkan akhir-akhir ini, pelbagai peranti dengan skrin bersaiz besar diperkenalkan.
Sebelum ini, Galaxy Tab yang bersaiz 7-inci sendiri selesa digunakan ramai dalam membuat panggilan serta digunakan sebagai peranti utama mereka menggantikan telefon mereka. Mungkin sekiranya perkara ini benar, Samsung akan mendapat pasarannya tersendiri, dan kumpulan pengguna yang meminatinya.
Walaubagaimanapun, fasa pembangunannya masih awal, dan akan mengambil beberapa bulan lagi yang mana mungkin akan mengalami pelbagai perubahan dan sebagainya. Kebiasaannya, Galaxy Note akan dilancarkan sekitar penghujung suku tahun ketiga.
Selain daripada Galaxy Note 3, beberapa laporan turut dikatakan Samsung mungkin akan mengumumkan kemaskini telefon pintar popular mereka, Galaxy S4 sekitar bulan Mac atau April 2013 ini.