Cari @ Amanz

Evernote Smart NotebookEvernote Smart Notebook telah pun dilancarkan secara rasmi beberapa minggu yang lepas di Malaysia, membolehkan para pengguna mengambil kelebihan buku tersebut dalam mengimbas catatan yang dilakukan menggunakan pen dan pensel, terus ke digital menggunakan aplikasi Evernote.

Video Ulasan

Dengan setiap pembelian buku catatan tersebut, para pengguna akan mendapat:

  • Terdapat 6 jenis klasifikasi ‘Smart Stickers’
  • 32 keping pelekat untuk kategori ‘Travel, Action, Approved dan Rejected’.
  • 48 keping pelekat untuk kategori ‘Home dan Work’
  • Kesemua kategori diatas boleh ditukar namanya untuk menyesuaikan dengan pilihan pengguna.
  • Langganan Evernote Premium selama 3 bulan.

Melalui buku Evernote Smart Notebook yang didatangkan, pelekat-pelekat yang dinamakan sebagai Smart Stickers turut sama membolehkan anda mengkategorikan sesuatu nota tersebut dengan mudah, dengan hanya menyertakan pelekatnya pada nota tersebut sebelum mengimbasnya.

Daripada penggunaan kami, ia berfungsi dengan lancar, sekaligus memudahkan pengguna membuat salinan digital dan sebagainya. Namun, harga jualannya adalah agak mahal. Jadi, bagaimanakah ia berfungsi pada buku biasa?

Kami telah mencubanya pada dua jenis buku berbeza. Aplikasi Evernote kelihatan dapat merakamkan dan menyimpannya dalam bentuk digital apabila menggunakan buku nota dengan garisan putus-putus, sebaliknya tidak berfungsi apabila menggunakan buku garisan biasa.

Jadi, berbaloikah ia untuk dibeli? Sekiranya anda merupakan pengguna tegar Evernote, mungkin boleh mendapatkannya, dan menerima Evernote Premium secara percuma selama 3 bulan.

Pada masa yang sama, ia hanya disokong secara terbina pada aplikasi iOS sahaja buat masa ini, dan diperkatakan akan diperluaskan kepada aplikasi Android tidak lama lagi.

Sebagai alternatif lain, salah satu aplikasi lain yang turut boleh digunakan dalam mengimbas dokumen ke dalam bentuk digital adalah CamScanner yang ditawarkan untuk Android dan juga iOS, dan menyimpan dokumen dalam bentuk PDF.

Tetapi, kelebihan pada Evernote adalah dimana ia boleh mengindex teks tulisan tangan yang dirakamkan, sekaligus membolehkan anda membuat carian pada Evernote.

Bagi mereka yang berminat, boleh mendapatkannya daripada Moleskine Asia hari ini pada harga RM76.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd