Ulasan – Asus PadFone 2

Ulasan – Asus PadFone 2

Diterbitkan pada Dis 23, 2012 oleh .

Asus Padfone 2Asus PadFone 2 ialah sebuah peranti hibrid yang menggabungkan sebuah telefon pintar dengan sebuah tablet bersaiz penuh. Keunikan PadFone2 ialah dimana anda mampu memiliki sebuah telefon pintar dan tablet tanpa perlu berbelanja besar. Kedua-dua peranti berkongsi kad sim dan cip pemproses yang sama. Perubahan dari satu mod ke mod yang lain dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Persoalannya sekarang adakah peranti hibrid 2 dalam 1 ini akan menjadi trend di masa hadapan? Adakah PadFone 2 peranti yang dinantikan bagi mereka yang mahu tablet dan telefon tetapi enggan berbelanja besar? Sila baca ulasan menyeluruh kami untuk mendapatkan jawapannya.

Perkakasan

Asus Padfone 2 diperkasakan dengan pemproses 1.5 GHz empat teras Snapdragon S4 Krait, memori sebanyak 2GB RAM, skrin 4.7″ inci LCD Super-IPS dan pilihan 3 pilihan saiz muatan storan dalaman (16/32/64 GB).  Resolusi skrin pula ialah 720×1280 dalam mod telefon dan 800×1280 dalam mod tablet. Kamera belakang ialah sebesar 13 Megapixel sementara kamera hadapan pula ialah 1.2 Megapixel. Terdapat juga sebuah kamera hadapan pada PadFone Station sebesar 1 Megapixel untuk menudahkan panggilan video dalam mod tablet. Asus Padfone 2 menggunakan sebuah kad-SIM Mikro dan tidak mempunyai sokongan muatan tambahan kad mikro-SD. Bateri sebesar 2140 mAh disertakan tetapi tidak seperti PadFone 1, bahagian bateri pada PadFone 2 tidak boleh dibuka.

Asus Padfone 2

Spesifikasi PadFone Station
Cip Tiada
Kamera 1.0 megapixel
Skrin 10.1 inci IPS
Bateri 5000 mAh
Spesifikasi Asus PadFone 2
Cip 1.5GHz (empat-teras)
Kamera 13 megapixel belakang
Storan Terbina 16/32/64 Gigabyte
Skrin 4.7-inci Super IPS
Bateri 2140 mAh
Kemasan

Sekilas pandang, PadFone 2 kelihatan seperti sebuah iPhone 4.  Ketika menggunakan peranti ini selama seminggu sudah beberapa kali teman-teman kami bertanya sejak bila kami menggunakan iPhone. Kemasan logam di keliling telefon serta slot kad sim sangat menyerupai telefon pintar keluaran Apple. Perbezaan hanya boleh dilihat apabila anda melihat bahagian bawah, tepi dan belakang PadFone2. Bahagian badan PadFone 2 menirus pada bahagian bawah. Bahagian belakangnya pula diperbuat daripada plastik. Rekaan tirus ini mengingatkan kami kepada rekaan Asus Zenbook. Ini tampak sebagai usaha pihak Asus untuk menyeragamkan rekaan kesemua produk utama mereka.

PadFone 2 Station ialah nama yang diberikan kepada “tablet” mereka. Sekali lagi pengaruh rekaan Apple boleh dilihat. Kali ini rupa bahagian depan, belakang , butang kuasa dan pembesar suara menyerupai sebuah iPad 2.  Slot untuk memasukkan PadFone 2 terletak pada bahagian tengah PadFone Station dan slot ini terbuka sepanjang masa tidak seperti pada PadFone1. Ini memudahkan proses menggabungkan kedua-dua peranti tetapi ruang terbuka ini pasti akan mengumpul habuk. Bahagian belakang PadFone Station dibina menggunakan bahan plastik dan agak mudah melentur. Sungguhpun begitu ianya tidak seteruk yang ada pada Galaxy Note 10.1 yang sudah terkenal dengan “kemampuan” melenturnya. Dari segi kemasan tablet ini masih tidak dapat menandingan kemasan sebuah iPad.

PadFone 2 menggunakan port pengecas rekaan khas Asus yang mempunyai tiga kepala. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menggunakan pengecas standard Mikro-USB yang digunakan peranti-peranti mudah-alih biasa pada hari ini. Ini juga bermakna PadFone 2 juga boleh disambungkan kepada komputer dengan menggunakan kabel Mikro-USB biasa. Perbezaan ketara antara kabel pengecas/data yang disertakan Asus dengan kabel Micro-USB ialah sambungan adalah longgar dan mudah tertanggal jika tidak menggunakan kabel khas yang disertakan.

Asus Padfone 2 Station

Penggunaan Padfone

PadFone 2 diperkasakan oleh cip pemprosesan 1.4 GHz empat teras. Adalah tidak mengejutkan apabila ujian penanda aras yang dilakukan kami mempunyai markah yang agak tinggi. Menurut ujian  Antutu dan Quadrant, PadFone2 jauh lebih baik dari Nexus 4, Galaxy S3, HTC One X+ dan juga Galaxy Note 2.  Tatalan dapat dilakukan dengan cukup lancar. Asus juga tidak melakukan perubahan yang banyak terhadap antaramuka sistem operasi Android Ice Cream Sandwich peranti ini. PadFone 2 masih menggunakan ICS tetapi kami difahamkan penaiktarafan ke Jelly Bean akan dilakukan bermula minggu ini.

Antaramuka yang digunakan rata-ratanya tida perubahan dari ICS asas. Perubahan hanya dilakukan pada antaramuka kamera dan palang notifikasi. Pada palang notifikasi anda boleh mengubah sistem audio,  pilihan WiFi, menghidupkan mod siang hari untuk mengawal kecerahan paparan skrin dan pengaktifan apliksi Asus Instant Dictionary.

Apabila PadFone 2 dimasukkan kedalam PadFone Station, perubahan ke mod tablet hanya mengambil masa dua saat. Yang menarik bagi kami ialah antaramuka pada PadFone Station secara automatik berubah ke mod tablet serta-merta.

Kami juga turut mencuba aplikasi Flipboard terkini, dimana ia berfungsi dengan lancar. Apabila kami menggunakan ia pada telefon Padfone 2, ia memaparkan antaramuka telefon, dan apabila digabungkan ke Padfone Station, ia serta-merta mengubah kepada antaramuka tablet. Beberapa aplikasi lain juga membawakan konsep yang lebih kurang sama, sekiranya pembangun aplikasi tersebut menawarkan antaramuka tablet untuknya.

Kamera

PadFone 2 dilenagkapi dengan kamera 13 Megapixel SONY. Sungguhpun mempunyai sensor yang agak besar kami mendapati kualiti gambar yang di ambil tidak sebaik yang ada pada Samsung Galaxy SIII dan HTC One X.  Gambar yang di ambil sedikit kabur dan terdapat masalah noise yang ketara pada gambar yang diambil dalam suasana kelam. Sungguhpun begitu apa yang kami sukakan ialah butang suara boleh digunakan sebagai butang pemetik gambar. Seperkara lagi yang kami rasakan aneh ialah saiz gambar dihadkan kepada 5 Megapixel sahaja dalam mod tablet.

Bateri

Bagi sebuah peranti dengan bateri sebesar 2140 mAh jangka hayat penggunaan PadFone2 agak mengecewakan. Secara purata kami hanya dapat menggunakan Padfone 2 sehingga 8 jam dengan sekali caj pada penggunaan biasa kami. Kami merasakan bagi sebuah peranti dengan bateri sebesar ini seharusnya PadFone 2 dapat berfungsi sekurang-kurangnya sehingga 9 jam. Dalam situasi beginilah kami rasakan PadFone Station menjadi penyelamat apabila bateri sudah kritikal. Seperti kami ada katakan pada awal ulasan ini, PadFone Station boleh diubah menjadi battery pack yang mengecas PadFone 2 apabila ia disambungkan.

Dengan penggunaan sederhana pula kami mampu memanjangkan hayat penggunaan sehingga 17 jam. Jangka hayat terpanjang yang berjaya kami lakukan ialah 23 jam.

Screenshot_2012-12-15-16-11-45

Penanda Aras

Aplikasi penanda aras Quadrant dan Antutu kami gunakan bagi membangdingkan kemampuan PadFone 2 berbanding dengan peranti empat-teras yang lain. PadFone 2 dengan mudah mengalahkan LG Galaxy Nexus 4, Galaxy SIII dan HTC One X+. Penggunaan pemproses Snapdragon S4 Krait jelas memberikan PadFone2 prestasi yang lebih tinggi berbanding 3 peranti diatas.

penanda aras asus padfone

Kesimpulan

Asus PadFone2 memperbaiki segala kelemahan yang ada pada PadFone asal. Dari keputusan penanda aras yang kami lakukan jelas sekali PadFone2 adalah antara peranti pintar Android terbaik yang mampu anda miliki sekarang. Kami tidak mengalami banyak masalah sepanjang melakukan ulasan ini. Masalah yang kami hadapi terhad aplikasi yang gagal melakukan scale up sempurna ketika berubah dari mod telefon ke mod tablet apabila menggunakan PadFone Station

Perubahan dari mod telefon ke mod tablet adalah lancar. Fungsi mengecas PadFone 2 ketika bergabung dengan PadFone station adalah sebuah fungsi yang benar-benar kami sukai kerana ini mampu memanjangkan hayat bateri PadFone2 yang agak mengecewakan.

Kemampuan kamera sedikit mengecewakan bagi sebuah kamera 13 Megapixel. Gambar agak kabur dan tidak secantik yang diambil sebuah HTC One X ataupun Galaxy S3. Masalah noise yang agak ketara jelas kelihatan pada gambar yang diambil dalam suasana kelam.

Sungguhpun begitu kami merasakan pada harga RM2700 ianya sebuah peranti hibrid yang sesuai digunakan bagi mereka yang mahu memiliki tablet dan telefon pintar pada waktu yang sama tanpa perlu berbelanja besar. Kami juga mendengar, beberapa penjual, menawarkannya pada harga RM2500.

PRO dan Kelebihan

  • Paparan skrin 4.8″  Super IPS+ adalah sangat jelas. Terdapat mod sianghari yang memudahkan paparan skrin dibaca sungguhpun di bawah cahaya matahari yang terik.
  • Pemproses empat teras 1.4 Ghz Snapdragon Krait memberikan kemampuan memproses yang tinggi. Kelajuan tatalan skrin amat lancar dan kelancaran aplikasi juga dapat dilihat
  • Pada harga saranan RM2700 anda mampu memiliki tablet dan sebuah telefon pintar berprestasi tinggi.
  • Berat keseluruhan Padfone2 dan Padfone Station masih lebih ringan dari sebuah iPad. Jika anda membawa kedua-dua kombinasi peranti ini, ianya tidak akan memenatkan tangan anda
  • PadFone Station juga berfungsi sebagai battery pack yang boleh mengecas PadFone2. Tidak perlu membeli battery pack lain.
  • Butang suara menjadi butang pemetik kamera. Ini memudahkan pengambilan gambar bagi sebuah peranti yang tidak didatangi dengan butang kamera fizikalnya sendiri seperti Xperia Ion.

KONTRA dan Kekurangan

  • Binaan dan kemasan yang agak plastik pada bahagian belakang.
  • Jangka hayat bateri yang agak mengecewakan sungguhpun ianya sebesar 2140 mAH
  • Kamera 13 Megapixel yang kurang tajam kualiti gambarnya. Kamera juga hanya dihadkan kepada 5 Megapixel dalam mod tablet. Mengapakah ini berlaku?
  • Bahagian belakang PadFone Station adalah terbuka dan pastinya akan menjadi berhabuk setelah sekian lama.
  • Tatalan agak bermasalah dalam mod tablet. Ianya tidak selancar tatalan pada skrin PadFone2 yang agak lancar. Kami lebih gemar menggunakan PadFone 2 sahaja dari PadFone Station.
  • Ketiadaan sokongan kad Mikro-SD. Muatan dalaman adalah terhad kepada model yang anda beli

Perbandingan Dua Padfone

TIPS & ULASAN