Cari @ Amanz

Ericsson ConsumerLab sering hadir dengan pelbagai kajian dan analisa mereka, dan terkini, hari ini mereka telah pun menerbitkan laporan terbaru, berkongsi akan ramalan mereka berkenaan dengan 10 trend hangat yang akan berlaku dikalangan pengguna sepanjang tahun 2013.

Keperluan Peranti Berasaskan Kepada Perkomputeran Awan

Ericsson ConsumerLabPada masa sekarang, terdapat pelbagai pengeluar yang menggunakan platform masing-masing pada peranti mereka, dan pada tahun hadapan, beberapa lagi sistem operasi mudah-alih turut akan hadir seperti FirefoxOS, Tizen, Jolla, BlackBerry 10 dan sebagainya.

Jadi, bagaimanakah pengguna akan memilih peranti mereka kelak?

Mengikut Ericsson, pengguna kelak akan mendapatkan peranti seperti tablet dan juga telefon pintar bergantung kepada kebolehan untuk menggunakan aplikasi dan memindahkan data dengan mudah padanya.

Beberapa perkhidmatan telah memudahkan penggunaan data diantara peranti, seperti Dropbox, Box, Google Drive dan sebagainya. Namun, untuk aplikasi, ia masih bergantung kepada pembangunnya sendiri.

Peranti Mudah-Alih Lebih Aktif Digunakan Berbanding Desktop

Ericsson ConsumerLabKini, boleh dikatakan desktop hanya digunakan untuk tujuan pekerjaan sahaja, dan sebaliknya, tablet dan telefon pintar digunakan untuk pelbagai perkara yang lain, termasuk membeli barangan, berkomunikasi, malah melakukan beberapa tugasan asas padanya.

Trend ini dijangka akan berterusan pada tahun akan datang, sekaligus menjadikan jualan tablet dan juga telefon pintar lebih tinggi berbanding desktop dan juga komputer riba.

Membawa Sambungan Jalur-Lebar Tersendiri Ke Kerja

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Ericsson, seramai 57% pengguna telefon pintar menggunakan jalur-lebar yang dilanggan secara peribadi untuk urusan kerja, dan perkara ini dijangka akan berterusan pada tahun hadapan.

Rangkaian Mudah-Alih Terus Diperkukuhkan

Rangkaian mudah-alih kini telah menjadi antara keperluan utama dalam urusan harian, daripada membuat tugasan kerja, sehingga untuk menguruskan kehidupan harian, bernavigasi dan sebagainya.

Rangkaian mudah-alih seluruh dunia akan terus berkembang pada tahun hadapan, dengan beberapa syarikat tempatan sendiri telah mula bersedia untuk memperkenalkan perkhidmatan LTE mereka kepada umum.

Rangkaian Sosial Digunakan Untuk Pelbagai Tujuan

Penggunaan rangkaian sosial mencapai tahap yang tinggi pada tahun ini, dan ia dijangka akan terus berkembang pada tahun hadapan, dengan beberapa portal seperti LinkedIN dijangka akan memainkan peranan penting, seperti dalam mengambil pekerja dan sebagainya.

Lebih Ramai Wanita Menggunakan Telefon Pintar

Ericsson ConsumerLab

Mengikut kajian Ericsson, ia dikatakan para pengguna wanita lebih aktif dalam menggunakan telefon pintar, dimana ia digunakan dalam menghantar dan menerima gambar, rangkaian sosial, mendaftar masuk lokasi, dan juga untuk menebus kupon dan sebagainya.

Dalam arena ini, pengguna lelaki dikatakan masih kurang aktif.

Lebih Idea Kreatif Dibincang Diantara Pengguna

Laman sosial juga dikatakan akan menjadi salah satu sebab mengapa pelbagai idea kreatif hadir, dan dibincangkan oleh pengguna didalam sesuatu bandar. Seringkali kita lihat pelbagai permasalahan yang dibincangkan pada laman sosial, dan mungkin kelak pengguna sendiri akan cuba mengatasi satu demi satu masalah dengan berbincang melaluinya.

Pembelian Secara In-Line

Pembelian melalui internet telah pun sedia popular dikalangan pengguna, dan pada tahun hadapan, ia dikatakan pelbagai kedai-kedai akan menawarkan pengguna untuk merasa barangan jualan dan melihatnya secara fizikal, sebelum membuat pembelian secara terus menggunakan telefon pintar mereka, tanpa perlu beratur untuk membayar dan sebagainya.

TV Lebih Sosial

Pada hari ini, kita boleh lihat ramai yang menonton televisyen sambil bersembang dengan rakan-rakan di laman sosial dan sebagainya. Trend ini dijangka akan berterusan, dan mungkin kita akan dapat melihat beberapa perkara interaktif diperkenalkan oleh syarikat penyiar dalam masa akan datang.

Pembelajaran Dalam Transformasi

Pengguna muda telah pun sedia celik teknologi pada hari ini, dan mereka dikatakan bakal dengan lebih aktif menggunakan teknologi untuk tujuan pembelajaran, sekaligus membawa perubahan kepada pelbagai landskap, daripada didalam sekolah sehingga ke kerajaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd