Laporan mengenai peranti bersaiz 6.1-inci daripada Huawei bukanlah sesuatu yang baru. Gergasi dari China itu dijangka akan mengumumkan peranti tersebut ketika CES 2013 dalam masa dua minggu lagi, dan menariknya, beberapa gambar peranti tersebut telah pun mula kelihatan.
Peranti tersebut dipertontonkan kepada beberapa orang peminat di kedai Huawei Guangzhou. Daripada beberapa laporan sebelum ini, peranti yang dipanggil Huawei Ascend Mate ini dikatakan akan membawakan cip pemprosesan empat-teras 1.8GHz HiSilicon K3V3, dan didatangkan bersama-sama bateri berkapasiti 4,000 mAh padanya. Peranti ini turut bakal dilengkapi dengan skrin 6.1-inci dengan paparan penuh HD.
Huawei Ascend Mate ini dijangka akan menggunakan Android 4.1 Jelly Bean padanya, dan mula dijual bermula pertengahan Februari kelak.
Sama-sama kita nantikan pengumuman rasminya pada CES 2013 kelak.