Carian
Les Copaque Pada Tahun 2013 – Animasi Baru, Permainan, Perancangan Awal Taman Tema
December 24, 2012 Aman

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan industri kreatif dan juga animasi, nama Les Copaque mungkin bukan sesuatu yang baru, dimana mereka sedia terkenal dengan animasi Upin & Ipin dan juga Pada Zaman Dahulu. Jadi, apakah perancangan mereka untuk tahun 2013?

Animasi

Les Copaque seperti semua sedia maklum, terkenal dengan animasi mereka yang telah membawa dan menetapkan tahap baru dalam industri animasi tanah-air. Untuk tahun hadapan, mereka akan meneruskan dua animasi sedia ada mereka, Upin dan Ipin yang bakal memasuki musim ke tujuh, manakala Pada Zaman Dahulu akan disambung ke musim ketiga.

Les Copaque bakal hadir dengan animasi baru – PuteriApa yang menariknya, Les Copaque juga kini dalam perancangan untuk memperkenalkan animasi baru, dinamakan sebagai Puteri. Jalan cerita untuknya masih dirahsiakan buat masa ini, dan tidak diketahui lagi sama ada ia akan hadir sebagai siri animasi pendek ataupun akan diperkenalkan sebagai filem.

Puteri (Les Copaque)

Les Copaque sekadar mengatakan yang mana mereka akan mengeluarkan video promosi pertama untuknya pada awal tahun 2013 (mungkin dalam beberapa hari lagi), dan menentukan sama ada ia akan dijadikan animasi bersiri ataupun filem berdasarkan kepada permintaan para peminat.

Bagi para peminat Upin dan Ipin, semestinya ingin mengetahui bilakah filem seterusnya akan diperkenalkan. Sebelum ini, mereka telah membatalkan perancangan untuk filem Upin & Ipin Angkasa, dan kelihatan bakal hadir dengan filem Laksamana Upin & Ipin. Maklumat lanjut berkaitan dengan filem Upin & Ipin masih tidak diketahui buat masa ini, namun Les Copaque mengatakan kemungkinan perancangan untuknya akan dikongsikan pada tahun hadapan.

Permainan Komputer & Mudah-Alih

4 permainan baru bakal diperkenalkan pada tahun 2013 dengan satu permainan memfokuskan pengguna desktopPada tahun ini, Les Copaque telah mengeluarkan beberapa permainan dalam bentuk aplikasi untuk iOS. Untuk tahun hadapan, mereka bakal memperkenalkan kesemua permainan sedia ada dalam versi Android. Pada masa yang sama, daripada sasaran untuk tahun hadapan, LCGDI (jenama dibawah Les Copaque) dijangka akan hadir dengan sekurang-kurangnya empat permainan baru, dan salah satunya adalah untuk pengguna desktop.

Apakah permainan desktop yang bakal diperkenalkan masih tidak dikongsikan buat masa ini, dan mungkin ia adalah lebih kepada bercorak pendidikan. LCGDI juga sedang dalam proses membangunkan permainan desktop bertema Laksamana Upin dan Ipin, yang mana lebih kepada permainan berbentuk RPG (role-playing games).

Integrasi teknologi Augmented Reality pada aplikasi terbitan LCGDIDisamping itu, pihak Les Copaque melalui LCGDI juga kelihatan bakal hadir dengan beberapa produk dengan ciri-ciri interaktif, terutamanya penggunaan teknologi Augmented Reality. Teknologi ini masih lagi baru di Malaysia, dimana melaluinya, para pengguna hanya perlu menggunakann peranti mudah-alih mereka, dan mengimbas sesuatu objek untuk melihat maklumat lanjut serta video berkaitan yang akan dimainkan secara automatik. Untuk permulaan, Les Copaque telah mengintegrasikannya pada baju yang dijual mereka, membolehkan pengguna mengimbas baju tersebut, dan melihat kandungan tambahan terus melalui peranti mudah-alih. Kelak, mereka juga dijangka akan mengintegrasikannya pada majalah terbitan mereka, dan beberapa produk yang lain.

Perancangan Awal Taman Tema

Taman tema daripada Les Copaque merupakan salah satu perkara yang diperkatakan sejak daripada tahun lepas. Daripada apa yang diketahui, ia akan dibina di Sepang, dan bakal memfokuskan kepada pelbagai siri animasi mereka didalamnya, dan semestinya Upin dan Ipin akan menjadi watak utama untuknya. Tarikh pelancaran mahupun permulaan pembinaan masih tidak diketahui buat masa ini. Namun, menariknya, pihak Les Copaque, telah berkongsi beberapa paparan gambar konsep, dimana daripada apa yang diperlihatkan nampak unik dan menarik.

Taman Tema Upin & Ipin

Sama-sama kita nantikan perkembangan sihat industri kreatif dan animasi negara pada tahun hadapan.

Komen