Lanjutan daripada ura-ura sebelum ini, kini beberapa info baru mula kedengaran mengenai tablet Windows RT daripada Nokia. Mengikut laporan terbaru, ia dikatakan Nokia akan menyertakan sokongan slot HDMI dan juga USB sama seperti yang terdapat pada Surface RT daripada Microsoft.
Tablet Nokia yang masih tiada nama ini dikatakan akan bersaiz sekitar 10.1-inci, dan dilaporkan akan didatangkan bersama-sama kerangka luar dengan sokongan papan kekunci padanya, lebih kurang sama seperti Surface.
Namun apa yang menariknya adalah mengenai jangka hayat bateri pada peranti tersebut, dimana ia akan menyertakan bateri dengan kapasiti penggunaan 10 jam, dengan kebolehan pengecasan pantas, membolehkan lebih 50% bateri dicas dalam jangka masa yang singkat.
Disamping itu, kerangka luar dengan papan kekunci dikatakan akan turut menyertakan bateri terbina padanya, membolehkan tablet dicas apabila kekurangan tenaga – lebih kurang seperti beberapa tablet Asus sebelum ini.
Beberapa laporan sebelum ini, Nokia dikatakan akan hadir dengan tablet tersebut seawal Mobile World Congress 2013 pada penghujung Februari kelak.