Apple Sepanjang Tahun 2012

Apple Sepanjang Tahun 2012

Diterbitkan pada Dis 26, 2012 oleh .

Apple pada tahun ini bergerak sepenuhnya dibawah pempinan baru – Tim Cook, dimana pelbagai produk baru dan sedia ada dikemaskini oleh mereka, disamping Apple yang turut menerima kritikan daripada pengguna seluruh dunia atas produk mereka Apple Maps.

Apple 2012

Retina dan iBooks

Apple memulakan awal tahun ini dengan acara yang memfokuskan kepada pendidikan, disamping memperkenalkan iBooks Author serta iBooks yang baru.

Seperti semua sedia maklum, iBooks merupakan salah satu platform untuk mendapatkan dan menerbitkan buku digital. Untuk memudahkan penghasilan pelbagai buku digital oleh sesiapa sahaja, Apple turut melancarkan perisian percuma yang dinamakan sebagai iBooks Author kepada para pengguna Mac OS X.

iBooks Author boleh dikatakan salah satu aplikasi yang menarik minat kami sendiri, apatah lagi memudahkan penerbitan buku dengan membolehkan pengguna menambah pelbagai media ditambah padanya.

Pada masa yang sama, pada suku tahun pertama 2012 ini juga, Apple turut memperkenalkan tablet generasi ketiga mereka, yang dikenali sebagai iPad Baru, yang menyertakan pelbagai kemaskini spesifikasi, serta skrin dengan paparan resolusi tinggi, ataupun yang dikenali sebagai Retina dikalangan pengguna produk Apple.

iPad Mini dan iPad 4

Bercakap mengenai tablet daripada Apple, setelah mengumumkan iPad generasi ketiga pada awal tahun, mereka turut memperkenalkan kemaskini untuknya dalam tempoh hanya beberapa bulan sahaja, sekaligus memulakan jualan iPad 4. Perkara ini sekaligus menjadikan ramai tertanya-tanya adakah produk Apple kelak tidak lagi akan eksklusif dengan kemaskini produk yang akan lebih kerap berbanding kemaskini tahunan seperti sebelum ini.

Disamping pengenalan iPad 4, Apple turut sama memperkenalkan tablet bersaiz 7-inci, dikenali sebagai iPad Mini. Walaupun digemari daripada saiz dan cara memegang dan mengendalikannya, namun ramai yang tidak begitu mengemari iPad Mini disebabkan oleh tiada penyertaan skrin dengan paparan Retina padanya.

Baca : Pandang Pertama iPad Mini

OS X 10.8 Mountain Lion dan iOS 6

Kedua-dua sistem operasi daripada Apple menerima kemaskini pada tahun ini, iaitu OS X dikemaskini kepada OS X 10.8 Mountain Lion, dan juga iOS dikemaskini kepada iOS 6.

Kedua-dua sistem operasi ini mengintegrasikan iCloud secara menyeluruh, membolehkan fail dikongsikan dan di sync antara peranti dengan mudah dan pantas.

Mountain Lion turut sama mengintegrasikan pelbagai elemen daripada sistem operasi mudah-alih mereka seperti sokongan Notification Center, integrasi perkongsian sosial pada pelayar web, integrasi fungsi iMessage, aplikasi Reminder, Notes, QuickTime X dan pelbagai perkara yang lain.

Baca : Ulasan Penuh OS X 10.8 Mountain Lion

iOS 6 juga turut diperkenalkan kepada para pengguna peranti mudah-alih mereka, yang mana menyertakan beberapa perkara baru, termasuk integrasi Facebook dan Passbook padanya. Namun, semestinya perkara yang diperkatakan ramai adalah berkenaan dengan Apple yang membuang aplikasi YouTube dan juga Google Maps padanya, dan mengantikan dengan Apple Maps.

Apple Maps telah menerima kritikan ramai pengguna seluruh dunia, apatah lagi dengan pelbagai data yang tidak lengkap dan lokasi alamat yang salah padanya. Pihak Apple sendiri meminta maaf untuknya dan mengatakan akan mengemaskini ia dari semasa ke semasa.

iPhone 5

Pada setiap tahun, salah satu perkara yang dinantikan ramai daripada Apple adalah telefon pintar mereka, dan pada tahun ini, Apple memperkenalkan iPhone 5. Tiada banyak perkara baru yang dibawakan padanya, selain daripada hanya skrin yang bersaiz lebih besar – 4-inci, dan juga pengenalan kabel pengecasan yang dinamakan Lightning padanya, mengantikan kabel pengecasan lama yang bersaiz besar.

iTunes dan AppleTV

Pada tahun ini, selain daripada penjualan pelbagai produk mereka di Malaysia, Apple turut sama melancarkan sokongan iTunes Store untuk pengguna dan penerbit di Malaysia.

Ia sekaligus membolehkan pengguna tempatan mendapatkan pelbagai media daripada penerbit tempatan dengan mudah melalui iTunes. Sokongan iTunes Match turut sama diumumkan oleh Apple ketika pengenalannya pada bulan Jun yang lepas.

Bersama-sama dengan pengenalan sokongan iTunes Store untuk pasaran Malaysia, Apple turut mula menjual peranti AppleTV mereka untuk pengguna tempatan, membolehkan mereka menikmati pelbagai kandungan daripada iTunes dengan mudah.

Apple juga membuat kejutan apabila buat pertama kalinya menyiarkan acara pengumuman rasmi produk mereka melalui AppleTV dan juga web, yang mana dikhaskan untuk pengguna yang menggunakan QuickTime dan Safari.

Saman Dan Lain-Lain

Bercakap mengenai Apple, semestinya salah satu perkara yang tidak boleh ditinggalkan adalah mengenai kes saman mereka dengan beberapa pengeluar, terutamanya dengan pesaing terdekat mereka – Samsung.

Kes saman antara kedua-dua gergasi ini dijangka berlanjutan sehingga tahun hadapan, dengan beberapa kes baru yang didaftarkan ke mahkamah baru-baru ini.

Pada masa yang sama, tahun ini juga kelihatan Apple menghadapi beberapa masalah untuk menangani sekuriti, daripada OS X yang diserang malware beberapa kali pada tahun ini, selain masalah pengodaman UDID.

Pelbagai penganalisa mengeluarkan kenyataan mereka daripada kaedah Apple menangani masalah ini, dimana Kaspersky sendiri mengatakan Apple masih sedekad dibelakang Microsoft dalam menangani masalah sekuriti.

iPhone 5

Penutup

Dengan arena mudah-alih dan perkomputeran yang semakin berkembang pesat, semestinya Apple mempunyai beberapa strategi pada tahun hadapan, yang mana bakal menentukan hala tuju sebenar mereka.

Apple sendiri mengalami beberapa perubahan dari segi eksekutif untuk beberapa bahagian dalam syarikat mereka, yang mana mungkin mengubah beberapa perkara pada tahun hadapan.

Jadi, apakah yang dinantikan anda daripada Apple untuk tahun hadapan?


TIPS & ULASAN