Microsoft Sepanjang Tahun 2012

Microsoft Sepanjang Tahun 2012

Diterbitkan pada Dis 29, 2012 oleh .

MicrosoftSama seperti Apple dan Google, gergasi dunia perkomputeran, Microsoft turut hadir dengan pelbagai perkara baru sepanjang tahun 2012 ini, disamping pada masa yang sama melihat beberapa orang kuat meninggalkan syarikat gergasi tersebut.

Windows 8

Bercakap mengenai tahun 2012, semestinya salah satu perkara yang tidak boleh ditinggalkan adalah Windows 8, iaitu sistem operasi terbaru daripada Microsoft yang mana bukan sahaja dioptimasikan untuk skrin sentuh, tetapi turut sama sesuai untuk digunakan pada komputer sedia ada dan dikawal menggunakan tetikus.

Seperti biasa, beberapa versi hadir, terutamanya Windows 8 dan juga Windows RT. Menariknya, kesan daripada pengenalan sistem operasi terbaru ini, ia juga membawa trend baru kepada pengenalan peranti seperti komputer AIO, dan komputer riba yang hadir dengan sokongan skrin sentuh, selain lebih ramai pengeluar hadir dengan tablet Windows RT.

Baca : Ulasan penuh Windows 8

Windows Phone 8

Selain daripada sistem operasi untuk perkomputeran, platform operasi untuk mudah-alih daripada Microsoft, iaitu Windows Phone 8 turut sama diumumkan pada tahun ini, membawakan beberapa penambahan, seperti sokongan mikro-SD, sokongan NFC, dan pelbagai yang lain.

Windows Phone 8

Windows Phone 8 juga memberikan lebih kuasa kepada pengguna untuk mengubah bentuk skrin utama dipaparkan dengan kebolehan untuk mengubah saiz Tiles dan sebagainya.

Buat masa ini, untuk pasaran Malaysia, HTC dan juga Nokia telah melancarkan peranti Windows Phone 8 mereka, dan mungkin Samsung hanya akan melancarkannya di Malaysia pada tahun hadapan.

Baca : Pandang Pertama Windows Phone 8

Surface

Bercakap mengenai pengenalan Windows 8, salah satu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah tablet yang dibangunkan sendiri oleh Microsoft, iaitu Surface. Namun, sehingga kini ia masih tidak diketahui bilakah ia akan memasuki pasaran tempatan.

Surface RT

Hasil pengenalan Surface, meja dengan sokongan sentuhan yang dikenali dengan nama biasa sebelum ini diubah untuk dikenali sebagai PixelSense.

Baca : Pandang Pertama Surface

Pelayar Web – Internet Explorer 10

Bersama-sama dengan pengenalan sistem operasi baru, Microsoft turut sama mengemaskini pelayar web mereka kepada versi terkini, iaitu Internet Explorer 10. Pada Windows 8, ia menerima pelbagai maklumbalas positif, dan Microsoft juga dilihat bakal memperkenalkan versi akhir untuk Internet Explorer 10 kepada pengguna Windows 7 tidak lama lagi.

Pengenalan Logo Baru

Logo Microsoft yang lama digantikan dengan logo baru, dimana kelihatan mengambil fokus kepada platform operasi mereka – Windows, disamping menampilkan rekabentuk yang lebih ceria.

Outlook.com

Selain daripada perkhidmatan emel sedia ada, iaitu Hotmail.com, Microsoft juga memperkenalkan sebuah perkhidmatan baru yang menampilkan ciri-ciri rekabentuk Metro, disamping memudahkan pengguna mengendalikan emel mereka, melalui Outlook.com.

Alamat baru juga disediakan, menggunakan akhiran @outlook.com, dimana pada masa yang sama membolehkan pengguna perkhidmatan emel Live sedia ada menggunakannya.

Skype

Skype dibawah Microsoft dilihat terus berkembang, dengan ia diintegrasikan dengan lebih mendalam pada Windows Phone 8, disamping membawakan ciri-ciri menarik pada sistem operasi Windows 8.

Microsoft juga mula menyeragamkan penggunaan ID pada Skype, dengan mengintegrasikan pengguna Live Messenger kepada Skype.

Kerjasama Pemetaan Dengan Nokia

Nokia Maps sememangnya salah satu perkhidmatan pemetaan yang terbaik di arena web, dan pada tahun ini, Nokia dan Microsoft mengumumkan kerjasama yang lebih baik, mengantikan penggunaan Bing Maps kepada Nokia Maps pada Windows Phone.

Pelbagai fungsi menarik, seperti sokongan trafik masa-nyata turut ditambah pada Bing dengan sokongan ini.

Lain-Lain

Microsoft dilihat bukan sahaja memfokuskan kepada platform mereka semata-mata, sebaliknya turut sama menawarkan pelbagai perkhidmatan dan aplikasi untuk pengguna platform yang lain.

Aplikasi pejabat mereka – Office 2013 turut menerima pelbagai kemaskini, dan telah pun didatangkan pada Windows RT dalam bentuk ujian. Versi akhirnya dijangka akan diumumkan oleh Microsoft pada awal tahun 2013 ini.

Sama seperti beberapa syarikat lain, Microsoft juga kelihatan kehilangan salah seorang kakitangan utama, iaitu presiden bahagian Windows – Steven Sinofsky.

Pada tahun hadapan, semestinya Microsoft akan hadir dengan pelbagai perkara menarik, apatah lagi dengan pelbagai ura-ura berkaitan tablet Surface baru, serta telefon Surface yang diperkatakan akan hadir daripada Microsoft.


TIPS & ULASAN