Ubuntu Sepanjang Tahun 2012

Ubuntu Sepanjang Tahun 2012

Diterbitkan pada Dis 31, 2012 oleh .

Jikalau sebelum ini, kami berkongsi beberapa perkara berkaitan Google, Apple dan juga Microsoft sepanjang tahun 2012, melalui artikel ringkas ini, kami membawakan pelbagai perkara baru yang dibawakan oleh Canonical melalui sistem operasi sumber terbuka mereka – Ubuntu.

Ubuntu 12.10

Seperti setiap tahun, Canonical meneruskan tradisi mengeluarkan dua versi sistem operasi pada tahun ini, dimana pada tahun ini mereka mengeluarkan Ubuntu 12.04 dan juga Ubuntu 12.10, dimana masing-masing menambah-baik sokongan antaramuka Unity padanya, disamping menjadikan sistem operasi Ubuntu terus interaktif dari hari ke hari.

Dengan pelancaran Ubuntu 12.10 pada bulan Oktober yang lepas juga, pembangun Ubuntu juga telah memulakan pembangunan sistem operasi generasi baru mereka – Ubuntu 13.04 yang akan dilancarkan pada bulan April 2013 kelak.

Ubuntu untuk Android

Salah satu konsep penggunaan Ubuntu yang diperlihatkan oleh Canonical pada tahun ini adalah Ubuntu untuk Android. Melaluinya, ia membolehkan sistem operasi Ubuntu disertakan bersama-sama telefon Android, dimana apabila pengguna dock telefon pintar Android pada monitor, maka sistem operasi Ubuntu akan dijalankan secara automatik dan dipaparkan pada monitor komputer.

Ubuntu TV

Selain daripada Ubuntu untuk Android, Canonical juga pada awal tahun ini memperlihatkan Ubuntu TV, membawakan paparan Unity pada televisyen, sekaligus memudahkan pengguna melihat dan mengakses pelbagai kandugan video pada televisyen mereka dengan mudah.

Lebih Sokongan Pengeluar Permainan

Jikalau sebelum ini, untuk menjalankan permainan, pengguna diperlukan menggunakan aplikasi seperti Wine dan sebagainya, pada tahun ini, pelbagai perubahan berlaku, daripada pelbagai permainan melalui Humble Bundle untuk Linux, dan juga sokongan Valve melalui Steam untuk Linux.

Steam untuk Linux masih diperingkat beta buat masa ini, dan pihak Valve akan menyokong platform Ubuntu terlebih dahulu ketika pelancarannya kelak.

Lain-lain

Ubuntu Nexus 7Pihak Ubuntu juga berkongsi beberapa perancangan masa depan mereka, dimana mereka kini lebih memfokuskan kepada menjadikan satu sistem operasi untuk pelbagai platform.

Sebagai permulaan, Canonical juga telah menyediakan sebuah fail khas untuk membolehkan pengguna menjalankan sistem operasi Ubuntu pada tablet Nexus 7.

Pihak Canonical juga dilihat memfokuskan kepada Ubuntu One – perkhidmatan storan awan mereka, dimana mereka hadir dengan pelbagai klien untuk platform-platform berbeza, disamping memperkenalkan Ubuntu One Music kepada umum.

Pada tahun hadapan, mungkin kita akan dapat melihat telefon pintar yang menjalankan Ubuntu mahupun pelbagai peranti lain yang menjalankan sistem operasi Ubuntu.


TIPS & ULASAN