Cari @ Amanz

BlackBerry Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan BlackBery 10 untuk pasaran Malaysia, dimana bersama-sama dengannya, BlackBerry Z10 – iaitu peranti pertama yang menjalankan sistem operasi berkenaan turut sama diperkenalkan untuk pasaran tempatan.

BlackBerry Z10

BlackBerry Z10

BlackBerry Z10 membawakan sokongan skrin sentuh sepenuhnya, dimana dijana menggunakan cip pemprosesan dwi-teras 1.5Ghz, memori sebanyak 2GB RAM, ruangan storan terbina 16GB dengan sokongan mikro-SD, serta kamera 8-megapixel pada bahagian belakang.

Berbeza dengan kebanyakkan peranti pada hari ini, BlackBerry Z10 membawakan bateri yang boleh ditanggalkan, disamping turut menyertakan sokongan NFC, mikro-HDMI dan juga pengecasan melalui mikro-USB.

Dari segi binaan, ia agak selesa dipegang dan juga dikendalikan menggunakan hanya sebelah tangan. Pada masa yang sama, peranti ini juga terasa agak ringan berbanding beberapa peranti terbaru yang lain.

Video

Sistem Operasi – BlackBerry 10

BlackBerry 10 merupakan sistem operasi terbaru daripada pihak BlackBerry. Daripada penggunaan kami, ia bergerak dengan lancar tanpa sebarang masalah. Pihak BlackBerry mengatakan ia dijayakan melalui penggunaan sistem berasaskan QNX.

Salah satu perkara yang ditekankan pada BlackBerry 10 adalah BlackBerry Hub. BlackBerry Hub boleh dikatakan sebagai kemaskini kepada perkhidmatan Messaging pada BlackBerry hari ini. Melalui BlackBerry Hub membolehkan pengguna mengakses pelbagai mesej daripada emel, SMS, serta daripada pelbagai laman sosial, termasuk LinkedIn, Facebook dan juga Twitter melaluinya.

Untuk aplikasi, BlackBerry mengatakan terdapat lebih daripada 70,000 aplikasi di BlackBerry World hari ini. Pelbagai aplikasi tempatan juga turut tersedia, termasuk Berita Harian, Harian Metro, AirAsia, WowLoud dan pelbagai yang lain. Senarai ini dikatakan ditambah daripada hari ke hari, dengan lebih banyak aplikasi yang akan hadir untuknya.

Selain itu, seperti semua sedia maklum, papan kekunci atas-skrin untuk BlackBerry Z10 didatangkan dengan sokongan pintar, membolehkan ia mempelajari pelbagai perkataan baru melalui input pengguna, dan mencadangkannya pada penggunaan kali kedua.

Untuk kamera pula, salah satu fungsi yang ditekankan adalah TimeShift, membolehkan pengguna memilih gambar wajah yang cantik dan sesuai sebelum berkongsi gambar akhir bersama yang lain.

BlackBerry Z10

BlackBerry Z10

Harga

BlackBerry Z10 akan dijual di Malaysia bermula daripada bulan Mac ini, dimana untuk pasaran Malaysia, ia membawakan tanda harga RM2188.

Peranti ini akan ditawarkan melalui Maxis bermula 9 Mac, dan diikuti oleh Celcom & DiGi bermula 8 April.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd