Cari @ Amanz

Tidak sampai beberapa minggu HTC Butterfly muncul di pasaran Malaysia, kini, HTC mengumumkan HTC One, sekaligus mengambil-alih takhta sebagai peranti terbaik keluaran mereka. Penambahbaikan dapat dilihat dari segi pemproses, teknologi kamera dan penggunaan antaramuka baru Sense 5. HTC One diperkasakan dengan pemproses 1.7 GHz empat teras Snapdragon 600, RAM 2 Gigabyte, muatan dalaman 32/64 Gigabyte dan kamera utama sebesar 4 Megapixel dengan teknologi UltraPixel.

Spesifikasi HTC One
Cip 1.7GHz (empat-teras) Snapdragon 600
Kamera Utama 4 Megapixel dengan UltraPixel
Kamera Hadapan 2.1 Megapixel Wide Angle
Storan Terbina 32 / 64 Gigabyte
RAM 2 Gigabyte
Skrin 4.7-incii Super LCD3 HD Penuh
Bateri 2300 mAh

Dari segi fizikal HTC One mempunyai mutu binaan yang terbaik pernah kami lihat untuk sebuah peranti Android. Keseluruhan tubuh peranti ini dihasilkan dari sebongkah aluminium yang menurut HTC mengambil masa 120 minit untuk dihasilkan. Kesemua ini dilakukan bagi memastikan tiada kesan penyambungan pada casis telefon pintar ini. Apabila memegang peranti ini di dalam tangan anda, anda dapat merasakan perbezaannya berbanding peranti lain yang ada di luar sana.

Pada bahagian kiri terdapat butang suara yang juga diperbuat dari aluminium. Pada bahagian atas terdapat butang kuasa yang juga berfungsi sebagai pemancar infra merah terbina. HTC One kini boleh berfungsi sebagai alat kawalan jauh. Fungsi ini terlebih dahulu dilihat pada tablet Galaxy Tab 7.7. Pada bahagian kiri pula terdapat slot untuk kad mikro SIM sementara pada bahagian bawa pula terdapat slot untuk USB mikro.

Skrin LCD 3 sebesar 4.7 inci digunakan pada HTC One. Ini adalah lebih kecil dari skrin HTC Butterfly sebesar 5 inci. Sungguhpun begitu skrin HTC One mempunyai kepadatan pixel yang lebih tinggi dari Butterfly iaitu 469 pixel setiap inci.

Sense 5.0

Antaramuka Sense diberikan perubahan drastik untuk versi ke lima kali ini. Skrin kekunci kini hanya memerlukan anda mentatalkan jari ke atas untuk menyahkunci. Pada home screen terdapat BlinkFeed yang menjadi pembaca RSS Feed, laman sosial dan kalender anda. Menurut HTC home screen yang sedia ada tidak mampu memberitahu pengguna tentang apa yang berlaku di luar sana dengan segera.

Dengan BlinkFeed kesemua berita terkini, status terkini teman di laman sosial dan temujanji anda dipaparkan secara terus pada home screen. BlinkFeed boleh ditatal keatas dan ke bawah bagi menunjukkan lebih banyak jubin maklumat. Blinkfeed mempunyai banyak persamaan dengan Flipboard. Jubin maklumat apabila ditekan akan memaparkan kandungan penuhnya. Anda boleh memilih maklumat apakah yang anda mahu paparkan di dalam BlinkFeed. Secara default BlinkFeed akan menjadi home screen Sense 5.0  tetapi anda mempunyai kebebasan untuk tidak menggunakannya sekiranya mahu menjimatkan penggunaan bateri dan RAM.

Sebuah lagi perubahan ketara ialah HTC hanya mempunyai 2 butang fizikal berbanding 3 pada peranti HTC sebelum ini. Butang multi tasking kini tidak lagi disertakan dan butang home kini terletak di bahagian bawah bahagian kanan peranti. Untuk mengakses skrin multi tasking anda perlu menekan butang home sebanyak dua kali. Paparan aplikasi pada skrin multi tasking juga diberikan nafas baru dengan 9 aplikasi terakhir anda gunakan dipaparkan dalam bentuk grid. Ini adalah amat mirip paparan skrin multi tasking yang digunakan pada peranti Meego Nokia N9.

Paparan berbentuk grid ini adalah sangat mesra pengguna pada pendapat kami kerana ia menunjukkan kesemua aplikasi yang aktif tanpa perlu melakukan tatalan. Cuma kami rasakan pembuangan butang multi tasking dan digantikan dengan menekan butang home sebanyak dua kali pula adalah sebaliknya.

Perubahan pada antaramuka talam aplikasi juga dilakukan. Tatalan talam aplikasi kini adalah ke atas dan ke bawah dan bukannya kiri dan ke kanan. Sense 5 membenarkan anda menyusun ikon aplikasi dalam sususan 3×3 atau 4×3. Perubahan arah tatalan juga dilakukan pada antaramuka pemilihan widget.

Akhir sekali ikon-ikon Sense 4+ juga diubah dengan ikon baru yang lebih menarik dan bersolusi tinggi.

BoomSound

Sejak bertahun lamanya majoriti telefon bimbit hanya dilengkapi dengan sebuah pembesar suara mono. Ini adalah kerana hanya sebuah pembesar suara diperlukan untuk melakukan panggilan bebas tangan. HTC Radar sebelum ini ialah antara peranti yang mempunyai dua pembesar suara stereo tetapi ianya kurang mendapat sambutan. iPad Mini pula menjadi peranti pertama Apple dengan kemampuan stereo. BoomSound ialah usaha terkini HTC untuk menghasilkan kualiti bunyi terbaik pada peranti mobil. Dari pengamatan kami HTC One mempunyai pembesar suara dengan kualiti bunyi yang terbaik pada mana-mana peranti yang pernah kami temui.

Selain daripada itu terdapat fungsi karaoke di mana kesemua lagu di dalam peranti anda boleh dimainkan lengkap dengan lirik lagu. Boomsound menggunakan teknologi dari SoundHound untuk memastikan lirik lagu adalah betul dan muncul tepat pada waktunya,

[amanz-gallery]

Kamera : Ultrapixel

Penggunaan kamera utama hanya sebesar 4 Megapixel mengejutkan ramai diantara anda. Ianya mempunyai sensor yang lebih kecilr dari Nokia N95 yang muncul di pasaran pada tahun 2007. Pihak HTC berkata megapixel tidak lagi penting untuk peranti masa hadapan tetapi saiz pixel adalah lebih utama. Oleh itu teknologi UltraPixel digunakan di mana HTC mendakwa sensor mereka dapat menangkap 300% lebih banyak cahaya dari sensor kamera biasa. Hasilnya ialah gambar yang mempunyai imej yang lebih tajam dan berfungsi dengan baik di dalam situasi pencahayaan rendah. HTC One mempunyai saiz pixel sebesar 2 mikron berbanding 1.4 micron pada iPhone5 dan Lumia 920. Secara teorinya gambar yang diambil dari HTC One adalah lebih jelas berbanding peranti lain.

Di bawah ialah gambar yang kami ambil menggunakan HTC One dan Sony Xperia Z . Jelas kelihatan gambar yang diambil dengan HTC One lebih terang dan tajam berbanding Xperia Z yang mempunyai saiz pixel 1.2 mikron.

Kamera : HTC Zoe

Selain Ultrapixel, HTC One juga didatangi dengan fungsi baru HTC Zoe. Zoe ianya singkatan perkataan Zoetrope yang bermaksud roda kehidupan. Di dalam mod Zoe, gambar yang diambil turut disertakan dengan klip video sepanjang 4 saat. Dua saat sebelum pemetik kamera ditekan dan dua lagi selepas pemetik kamera ditekan. Dari klip video ini suntingan gambar seperti pembuangan objek, gambar berturutan dan suntingan air muka.

Fungsi suntingan air muka HTC Zoe adalah seperti fungsi suntingan muka yang ada pada Samsung Galaxy Note 2. Air muka pada gambar yang diambil boleh diubah dan digantikan dengan air muka berbeza dari klip video empat saat yang diambil.

Fungsi gambar berturutan pula membolehkan anda menggabungkan pelbagai gambar aksi menjadi sekeping gambar.Seperti contoh gambar di atas 5 keping gambar seorang lelaki menaiki basikal digabungkan menjadi sekeping gambar komposit. Akhir sekali ialah fungsi pembuangan objek di mana elemen pada gambar yang tidak diingini boleh dibuang mengikut kehendak pengguna. Fungsi ini sama seperti fungsi content aware fill yang ada pada perisian Adobe Photoshop.

HTC Zoe juga boleh digunakan bagi menghasilkan klip video pendek sepanjang 30 saat secara automatik. Kesemua gambar dan klip video yang disimpan di dalam sesebuah folder akan disambungkan menjadi klip video dengan muzik yang dipilih sendiri oleh pengguna.

Seperkara lagi antaramuka galeri gambar juga diberikan penaiktarafan dengan thumbnail yang tidak lagi statik. Sekali imbas dari muka utama galeri anda boleh mengetahui isi kandungan setiap folder yang ada.

Fungsi suntingan gambar baru juga dalam dilihat di dalam Sense 5 dimana beberapa penapis dan kesan khas baru ditambah dari yang sudah sedia ada di dalam Sense 4+.

Kesimpulan

HTC One ialah peranti Android paling kemas dan cantik yang pernah kami lihat. Binaan casis dari sebongkahg aluminium menghasilkan kualiti binaan yang jauh lebih praktikal dari plastik ataupun kaca yang sedia ada. Dari segi sistem antaramuka pula Sense 5 yang minimalis tetapi kemas adalah sangat berbeza dari Sense 4+ yang sudah biasa kami lihat.

Kamera 4 megapixel UltraPixel HTC One pula mengambil gambar yang baik dan terang sungguhpun pada keadaan cahaya yang rendah. Resolusi gambar adalah lebih kecil  iaitu 2688 x 1520 pixel berbanding 3264×2448 pixel pada kamera 8 megapixel. Sungguhpun begitu kami mendapati saiz fail gambar HTC One adalah lebih besar.

Fungsi HTC Zoe pula memudahkan penyuntingan gambar. Mod pembuangan objek dan pengubah air muka semestinya berguna bagi mereka yang tidak mahu membuang masa menyunting gambar menggunakan Photoshop pada komputer mereka.

BoomSound pastinya menarik minat mereka yang gemar mendengar muzik dari peranti mereka tanpa menggunakan fon telinga. Bunyi stereo dengan sokongan Beats Audio benar-benar hidup dan terdapat fungsi karaoke lengkap dengan lirik.

Akhir kata HTC One ialah peranti terbaik Android yang ada di pasaran sekarang dan memperbaiki kelemahan yang ada pada HTC Butterfly sebelumnya. Ianya akan muncul di pasaran Malaysia pada akhir April dengan harga saranan sekitar RM 2299 untuk versi 32GB.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd