Cari @ Amanz

Canon hari ini memperkenalkan kemaskini untuk EOS 60D, iaitu Canon EOS 70D. Kamera DSLR EOS 70D ini hadir dengan sistem pemfokusan baru, membolehkan ia autofokus dengan kemas ketika merakamkan video.

Canon EOS 70D

Untuk menjayakannya, EOS 70D menyertakan Dual Pixel CMOS AF, membolehkan pengguna memfokuskan kepada bukan sahaja video, tetapi juga gambar. Perkara ini sekaligus membolehkan pengguna merakamkan video dengan kualiti seumpama rakaman menggunakan camcorder. Jikalau dibandingkan dengan Live View AF daripada Canon sebelum ini, sistem baru ini dikatakan membawakan masa pemfokusan yang lebih pantas, disamping membolehkan rakaman video dilakukan dengan lebih kemas berbanding sebelumnya.

Pada masa yang sama, EOS 70D turut sama didatangkan dengan wireless transmitter terbina, membolehkan pengguna menghubungkan ia dengan beberapa peranti untuk berkongsi gambar dengan serta-merta. Untuk tujuan ini, Canon menyediakan aplikasi khas untuk pengguna Android dan juga iOS. Menggunakannya, selain berkongsi gambar, pengguna turut boleh mengawal beberapa perkara lain, termasuk shutter speed, ISO, aperture dan beberapa yang lain.

Canon EOS 70D

Dari segi prestasi, kamera EOS 70D ini membawakan sensor 20.2-megapixel APS-C Canon CMOS, pemprosesan gambar DIGIC 5+, serta ISO antara 100-12800 (boleh diperluaskan sehingga 25,600).

Canon EOS 70D ini dijangka akan mula dijual bermula bulan September kelak. Harga pasaran tempatan untuknya masih belum diketahui buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd